Ikan Pekasam Beras ResepiRaidah



Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung2 blog resepiraidah. Sudah terlalu lama resepiraidah tidak mengemaskini blog ini...Untuk pembukaan tahun 2016 ini, resepiraidah akan menunjukkan cara untuk membuat pekasam ikan beras. Resepiraidah menggunakan ikan laut, kerana di Abu Dhabi tidak ada ikan sungai atau darat yang sesuai seperti di Malaysia..

Bahan-bahan:


  • Ikan sungai(air tawar)/darat
  • Garam secukupnya ~ dalam 3 sudu besar
  • Beras ~ digoreng sehingga kekuningan(sukatan saya gunakan, beras 1 pot rice cooker untuk ikan sebanyak 12 ekor sebesar 2 ke 3 jari)
  • 1 sudu besar serbuk kunyit


Cara penyediaan:

  1. Ikan disiang, gaul air garam dan asam. Kemudian basuh bersih dan toskan.
  2. Ambil garam(anggaran secukupnya, agak2 padan dgn jumlah ikan) gaul dengan ikan dan serbuk kunyit(kalau tak nak letak kunyit pun tak apa). Perap semalaman ikan tadi.
  3. Setelah semalaman, garam yang diperap sudah sebati dengan ikan. Kemudian gaulkan ikan dengan beras yang telah digoreng/sangai dan ditumbuk. Sekiranya ikan tidak melekat dengan beras, basahkan ikan dgn sedikit air dan salut semula dgn beras. 
  4. Buat ikan sehingga habis dan simpan/susun di dalam bekas. Perap selama seminggu sebelum sedia untuk digoreng.

** Ada yang meletakkan asam keping atau asam jawa. Tapi saya hanya menggunakan garam dan beras sahaja. 


Beras yang telah digoreng sehingga kekuningan


Beras yang telah ditumbuk/blend~jgn terlalu halus

Ikan yang telah digaul garam kunyit semalaman

Ikan yang telah siap dibalut dengan beras dan sedia untuk diperap

Kari Ikan Sembilang Abu Dhabi


Semasa bercuti di Malaysia baru-baru ini, kami sekeluarga sempat menikmati kari ikan sembilang di sebuah restoran, kebetulan semasa membeli ikan di pasar Abu Dhabi kelmarin ternampak ada ikan sembilang dijual disini. Selidik punya selidik rupanya dari Mesir. Inilah hasilnya... Selamat mencuba!

Bahan-bahan:
  • 1 ekor ikan sembilang
  • 5-6 biji bendi
  • 1 biji tomato ~ belah 4
  • 1 peket kecil@ 2 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 sudu kecil halba campur
  • 1 keping asam keping/gelugur
  • 1 cawan santan pekat
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula
  • Minyak untuk menumis.


Bahan tumis:
  • Rempah 4 sekawan (kayu manis,bunga lawang,bunga cengkih & pelaga)
  • 1/2 inci halia ~ hiris halus
  • 3 ulas bawang putih ~ hiris nipis
  • 1 biji bawang besar ~ hiris nipis
  • 1 tangkai daun kari

~ Panaskan minyak dan gorengkan semua bahan sehingga garing. Angkat dan ketepikan.

Bahan tumbuk/kisar:
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • 1 cm halia.


Cara penyediaan:
  1. Perap ikan dengan garam dan asam(saya guna cuka) lebih kurang 10 minit dan kemudian cuci sehingga bersih.
  2. Dengan menggunakan minyak menggoreng bahan tumis, gorengkan halba campur dan bahan tumbuk/kisar sehingga garing.
  3. Masukkan rempah kari dan sedikit air. Kacau rata dan biarkan sehingga rempah pecah minyak dan kari betul-betul masak. 
  4. Masukkan santan pekat dan air secukupnya(untuk kuah), biarkan mendidih sebentar.
  5. Kemudian masukkan ikan sembilang, asam keping dan bendi, kecilkan api dan biarkan kuah mendidih sehingga ikan masak.
  6. Masukkan garam, gula dan tomato, biarkan seketika. Tutup api dan masukkan bahan tumis yang telah digoreng tadi. Kacau sekejap dan sedia untuk dihidang. 


Ikan sembilang dan bahan rencah

Halba campur

Rempah 4 sekawan,bawang putih,bawang besar dan halia yang telah digoreng


Kari ikan sembilang..

Kari Ikan Sardin (Mackarel)

Adakala kuah roti canai yang dibeli dikedai agak kurang enak, jadi untuk santapan keluarga apabila membeli roti canai dikedai untuk dimakan dirumah, saya sediakan kari ikan sardin yang mudah untuk disediakan ini.

Bahan-bahannya:

1 tin besar sardin Mackarel
1 pek kecil serbuk kari
**3 ulas bawang putih
**1 biji bawang besar
**1/2 inci halia
**semua bahan ditumbuk/mesin kasar
2 ulas bawang putih ~ dimayam halus
1 biji bawang besar ~ dihiris
1 tangkai daun kari
2 keping asam keping
1 biji tomato ~ belah 4
1 cawan santan
Air
Garam dan gula
Minyak

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak. Goreng bawang putih dan bawang besar yang telah dihiris sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
2. Dalam anggaran 3 sudu besar minyak, tumiskn bahan-bahan yg telah ditumbuk sehingga wangi.
3. Masukkan rempah kari, daun kari dan sedikit air. Masak sehingga terbit minyak. Kalau kering tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga betul-betul masak dan terbit minyaknya.
4. Masukkan santan, asam keping dan ikan sardin, masak sehingga mendidih.
5. Perasakan masin, masam dan manisnya.
6. Masukkan tomato dan bawang yg telah digoreng tadi. Didihkan sebentar dan bolehlah diangkat.

Walaupun mudah akan tetapi memakan masa juga kerana masa untuk rempah kari itu naik minyaknya dalam proses menumis, Kalau mahu segera tak perlulah tunggu kari yang ditumis tadi naik minyaknya tetapi kurang umphlah rasanya nanti.


Kerapu Masam Manis

  • 1 ekor ikan kerapu ~ 
  • 2 biji tomato ~ dipotong dadu
  • 1 batang karot ~ dipotong dadu
  • 1 biji timun ~ dipotong dadu
  • 1 labu bawang besar ~ dipotong bulat
  • 5 ulas bawang putih ~ ditumbuk kasar
  • 1 labu bawang besar ~ dipotong dadu
  • 1/2 inci halia ~ dihiris nipis
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1/2 cawan sos cili
  • 1 susu kecil tepung jagung ~ bancuh dgn sedikit air
  • Serbuk kunyit dan 2 sudu tepung jagung
  • Garam dan gula
  • Air
  • Minyak
Cara penyediaan:

Ikan yang saya gunakan agak besar, jadi untuk memudahkan memasak saya potong dua, maklumla kan kuali tak besar macam yang dikedai makan.

1. Bersihkan ikan, kemudian lumurkan ianya dengan serbuk kunyit, garam dan tepung jagung.
2. Panaskan minyak secukupnya untuk goreng deep fry dan goreng ikan sehingga garing. Gunakan api sederhana supaya ikan tidak hangit/hangus. Angkat dan ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak(ambil minyak gorengan tadi) dan tumis bawang putih, bawang besar yang dipotong dadu dan halia sehingga naik bau.
4. Masukkan bahan sos dan tomato, karot, timun dan bawang hiris serta bahan sos. Kacau sebati, kalau ingin berkuah, masukkan sedikit air.
5. Perasakan dengan garam dan gula. Masuk kan bancuhan tepung jagung (untuk memekatkan kuah) dan kacau sebentar.
6. Angkat dan bolehlah dituangkan ke atas ikan yang telah digoreng tadi. Boleh hiaskan dengan potongan daun bawang dan sup.

Sedia untuk dihidangkan.

Buah Melaka (onde-onde) Berkuah

Assalamualaikum.

Bertemu lagi di resepiraidah..Kali ini dengan resepi kuih buah melaka (onde-onde) versi resepiraidah yang tidak bersalut kelapa parut. Makan dengan kuah santan pun sedap juga..Rupa bentuk buah Melaka kurang cantik 😁..si bujang dan puteri yang menolong..ibunya merebus dan membuat kuah 😃

Bahan-bahan:

2 cawan tepung pulut
1 cawan tepung gandum (saya tambah)
2 ketul atau secukupnya gula melaka ~ dipotong kecil2
1 1/3 cawan atau secukupnya air atau jus pandan
Sedikit pewarna hijau
Sedikit garam ~ dicampur dlm jus pandan
Untuk kuah:
3 cawan santan
2 sudu besar tepung beras
2 helai daun pandan
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

Untuk kuah:

~ Campurkan semua bahan2 kuah lalu dikacau atas api sederhana sehingga kuah masak dan agak pekat. Ketepikan.

Buah Melaka:

1. Bancuh tepung bersama jus pandan sehingga boleh diuli. Jangan sampai lembik nanti susah nak bentukkan doh jadi bulat.
2. Ambil doh sebesar guli, masukkan gula melaka yg telah dipotong kecil2 ditengah2 adunan. Bulatkan dan pastikan menutupi keseluruhan gula.
3. Masak air sehingga mendidih, kemudian masukkn buah melaka tadi.
4. Bila bebola timbul/terapung bolehlah diangkat dan toskan.
5. Terus masukkan ke dalam kuah yg telah disediakan tadi.

Mujaddara Arabic Lentil Rice

Assalamualaikum..Bersua kembali setelah sekian lama tidak mengemaskini blog resepiraidah ini..Mujaddara membuka tirai, makanan tradisional vegetarian di Timur Tengah. Menggunakan bahan yang sedikit dan senang untuk disediakan.

Bahan-bahan:

2 cawan kacang dal ~ direndam setengah jam
1 cawan beras(saya guna basmati) ~ direndam setengah jam
4 biji bawang besar ~ hiris nipis untuk dijadikan bawang goreng
5 cawan air
1 sudu besar minyak zaitun
1 sudu besar serbuk jintan putih
Garam
Minyak

Cara penyediaan:

1. Masukkan dal dan air ke dalam periuk, masak sehingga mendidih atas api sederhana
2. Kecilkan api. Tutup periuk dan biarkan reneh selama 20-25 minit atau sehingga dal lembut.
3. Masukkan beras, garam, serbuk jintan putih dan minyak zaitun ke dalam periuk dan kacau rata. Kalau air agak kering, tambahkan 1/2 air jika perlu. Tutup dan biarkan sehingga dal dan beras masak selama lebihkurang 30 minit.
4. Untuk membuat bawang goreng, panaskan minyak dan goreng bawang yang telah dihiris tadi sehingga garing. Angkat dan toskan. 
5. Apabila dal dan nasi telah dimasak, ambil separuh bawang yang telah digoreng tadi dan campurkan ke dalam periuk, gaul rata. 
6. Hidangkan ke dalam pinggan dan taburkan bawang goreng diatas nasi dal tersebut.
 

Ini kacang dal yang saya gunakan.
** Saya menggunakan cawan dan sudu sukatan matrik

Air Katirah Abu Dhabi

Minuman yang popular ketika di bulan Ramadhan. Puasa lepas tidak berkesempatan untuk membuatnya, jadi buatlah pada hari biasa kerana bahan-bahannya pun telah lama dibawa dari Malaysia. Saya menggunakan resepi dari my resipi.. dan membuat sedikit penambahan dengan merujuk resepi lain...

Bahan-bahan:
Air ~ secukupnya
Gula pasir ~ Secukup rasa
15 biji badam~ tanpa kulit
1 tin susu cair
Daun pandan
100 g katirah
Sedikit pewarna hijau

Bahan isian tambahan jika suka:

Segenggam kembang semangkuk ~ direndam berasingan
1 sudu besar biji selasih ~ direndam berasingan
Hirisan buah kurma
Cincau ~ dipotong
Kacang tanah goreng ~ dibuang kulit
Cendol
Ketulan ais secukupnya

Cara penyediaan:

1. Rendam dahulu katirah hingga kembang semalaman.Tapis dan bersihkan.
2. Masak air, gula dan daun pandan sehingga gula larut.
3. Kisar badam bersama sedikit air hingga halus dan tapiskan ke dalam air gula tadi dan masak lagi hingga mendidih, kacau sentiasa. Matikan api dan biar sejuk.
4. Setelah air sejuk, masukkan susu cair dan katirah dan gaul rata. Titikkan pewarna hijau dan pewarna lain jika suka dan tambahkan bahan2 isian lain secukupnya. Sejukkan didalam peti sejuk.
5. Enjoy~! (^_^)...

Katirah atau getah anggur sebelum dan sesudah direndam..

Sedia untuk dihidangkan..

Sambal Ikan

Sudah agak terlalu lama saya tidak mengemaskinikan blog resepiraidah ini. Masa tidak mengizinkan untuk mengadap lama didepan laptop. Sibuk melayan baby, sikakak dan abang2nya. Resepi ini pun merupakan masakan yang ringkas juga untuk disediakan.

Bahan-bahan:

2 ekor ikan bawal(blh gunakan ikan lain seperti tenggiri, kembung dll)
Sedikit garam dan kunyit
** Lumurkan/Garam kunyitkan ikan dan goreng sehingga masak atau sehingga garing.

Bahan tumbuk/kisar kasar:


5 biji cili besar merah
10 biji cili api
1 biji bawang Besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia

Bahan lain:

1 biji bawang ~ dihiris
1 sudu besar sos cili
Garam dan gula
Air
Minyak

Cara penyediaan sambal:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar sehingga agak garing.
2. Masukkan sedikit air, cili sos, bawang hiris, garam dan gula secukup rasa. Kacau sebati dan rasakan masam, masim dan manis secukupnya.
3. Angkat dan tuangkan ke atas ikan yang telah digoreng.




Kuih Serabai Kuah Durian

Pertama kali makan dan membuat kuih serabai ini. Setelah melihatnya di internet, rasa teringin untuk mencuba memandangkan cara2 membuatnya agak senang. Resepi yang dirujuk dari my resipi Serabai

Bahan-bahan:

Serabai:
500gm tepung beras
300gm nasi ~ kisar bersama sedikit air sehingga hancur
1 1/2 biji kelapa ~ perah santan dengan air suam dan jadikan 1 liter
1 1/2 sudu kecil yis/ baking soda
Garam secukup rasa

Kuah Durian:
1 cawan gula perang
2 cawan santan
Isi durian atau lempok secukupnya
2 helai daun pandan ~ disimpul/diikat
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

Serabai:

1. Campurkan yis/baking soda dengan santan suam dan kacau sebati.
2. Kemudian campurkan kesemua bahan serabai hingga sebati dan peram sehingga 2 jam.(kecairan bancuhan sama seperti membuat kuih cara).
3. Kalau nak senang, masukkan ke dalam blender dan blend hingga hancur.
4. Panaskan acuan serabai atau non stick pan dan sapukan sedikit minyak.
5. Masukkan adunan 3/4 penuh ke dalam acuan serabai dan masak hingga adunan masak di atas api kecil. Buat sehingga habis adunan.

Kuah Durian:

~ Campurkan kesemua bahan ke dalam periuk dan masak dengan menggunakan api yang sederhana hingga pekat.


Saya menggunakan kuali non stick untuk memasak kuih serabai..


Kuih serabai yang telah siap dimasak dan sedia untuk dihidangkan..

Lepat Labu

Bahan-bahan:

3 cawan labu yang dilenyek ~ direbus dan toskan airnya (baru disukat)
3/4 cawan gula atau secukupnya
2 cawan tepung gandum
50gm santan serbuk
1 sudu kecil garam
1 cawan kelapa parut atau secukupnya gaul dgn sedikit garam(untuk inti)
Daun pisang(layur diatas api dan potong kecil) secukupnya untuk membungkus
Air dan periuk kukusan.

Cara penyediaan:

1. Masukkan labu, gula, tepung, santan dan garam ke dalam mangkuk dan gaul semua bahan hingga sebati.
2. Ambil dua sudu besar adunan dan letakkan ke atas daun pisang. Letakkan kelapa parut ditengah adunan tadi.
3. Tutup adunan dan lipat kedua2 hujung daun dgn kemas.
4. Aturkan ke dalam periuk kukus dan kukus selama 20 minit atau sehingga masak.

Kuih Lopes

Resepi kuih lopes ini saya ambil dari My Resipi..

Bahan-bahan:

2 cawan beras pulut
2 cawan santan cair
1/2 cawan air pandan (dikisar)
1 sudu kecil air kapur
1/2 sudu kecl garam
Beberapa titik pewarna hijau
Kelapa parut yg di gaul dengan sedikit garam.

Cara penyediaan:

1. Cuci beras pulut, rendam beras pulut dgn air yang dicampurkan dengan perwarna hijau dan air kapur. Rendamkan selama 3jam.
2. Kisar daun pandan bersama 1/2 cawan air dan tapiskan airnya.
3. Toskan beras dan masukkan dalam loyang. Kukus selama 20minit.
4. Kemudian masukkan santan yang dicampurkan dgn garam dan air pandan kukus lagi selama 30minit.
5. Alas bekas 4segi/bulat dengan plastik/daun pisang. Ambil pulut yg telah masak tadi dan tekan padat2 dgn plastik/daun pisang.
6. Biarkan sejuk,kemudian potonglah ikut bentuk yang disukai. Kemudian golekkan dalam kelapa parut.

Bahan Untuk Air Gula:

3 ketul gula melaka
5 sudu besar gula
3 cawan air
2 helai daun pandan ~ disimpul.

Cara penyediaan:

~ Masukkan semua bahan ke dalam periuk. Bila mendidih kecilkan api dan masak hingga agak likat/pekat. Bila sudah sejuk bolehlah dimakan bersama pulut.

Bubur Jagung Bersagu

Selamat berpuasa buat semua pengunjung blog resepiraidah..Agak terlalu lewat untuk mengucapkannya..Sebenarnya saya sekarang masih didalam pantang selepas melahirkan cahayamata yang ke 6 pada 25 Julai yang lalu..Walaupun masih didalam pantang, kuih muih, bubur saya buatkan juga untuk anak2 dan ayahnya..Kesian pulak kat sini mana ada pasar/bazar ramadhan untuk membeli juadah berbuka..Bubur jagung bersagu ini adalah resepi yang amat senang untuk disediakan..


Bahan-bahan:

3 cawan jagung (saya guna jagung beku yang jual dipasaraya)
3 sudu besar sagu ~ saya rebus dahulu sagu sehingga jernih, basuh dan rendamkan didalam air sebelum dimasukkan ke dalam bubur
250ml santan
Air secukupnya
1/2 cawan gula merah
Gula pasir secukupnya
2 helai daun pandan ~ dikoyak dan disimpulkan
Sedikit garam.


Cara penyediaan:

1. Masukkan semua bahan kecuali sagu ke dalam periuk. Masak hingga mendidih dengan api yang sederhana supaya santan tidak pecah minyak.
2. Masukkan sagu yang telah direbus, rasakan manis lemak secukupnya. Bolehlah tutup api dan sedia dihidangkan.

***Saya suka rebus dan basuh dahulu sagu sebelum dimasukkan ke dalam bubur yang dimasak supaya kuah bubur tidak menjadi terlalu pekat dan proses memasak bubur pun mengambil masa yang singkat.

Ketupat Sotong ~ Versi Tidak Pedas

Ketupat sotong yang tidak pedas ini buat untuk anak-anak yang tidak makan pedas..Bolehlah cuba untuk juadah berbuka puasa..


Bahan-bahan:

1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
6 ekor sotong ~ buang selaput/kulit luar, bersih dan toskan
2 cawan santan pekat
3 biji bawang merah ~ dihiris
1/2 inci halia ~ dihiris
1 sudu kecil halba
Garam dan gula secukupnya
Lidi (saya guna lidi satay)

Cara penyediaan:

1. Masak/kukus beras pulut dengan santan cair sehingga separuh masak. Setelah agak sejuk, sumbatkan ke dalam sotong. Jangan terlalu penuh/padat, lebih kurang 3/4 badan sotong.
2. Kemudian masukkan kepala sotong dalam badan sotong tersebut dan sematkan/tutup dengan lidi supaya pulut tidak terkeluar.
3. Masak sotong tersebut dengan 2 cawan santan pekat dengan menggunakan api yang sederhana.
4. Apabila kuah mendidih, masukkan bawang, halia, halba, garam dan gula secukupnya.
5. Masak sehingga kuah agak pekat atau bergantung pada citarasa.


Ikan Masak Taucu

Ikan masak taucu, resepi yang mudah untuk disediakan...

Bahan-bahan:

2 keping ikan tenggiri (ikan lain pun boleh guna seperti kembung, bawal dll)
2 sudu besar atau secukupnya taucu
Air asam jawa secukupnya
1 batang karot ~ potong kecil
1 batang timun ~ potong kecil
1/2 biji lada benggala ~ potong kecil
Serbuk kunyit
Garam dan gula
Air
Minyak.

Bahan hiris/mayam:

3 ulas bawang putih
2 biji bawang besar(boleh kurangkan)
1/2 inci halia
5 biji atau lebih cili api.

Cara penyediaan:

1. Bersihkan ikan, gaul dengan garam dan kunyit. Goreng sehingga garing dan ketepikan.
2. Panaskan minyak, tumis bawang putih, merah, halia dan cili api sehingga wangi.
3. Masukkan taucu, air asam jawa dan gula(jika tidak masin bolehlah tambah garam/taucu). Biarkan mendidih dan rasakan masin, masam dan manis secukupnya. Kuah bergantung pada citarasa.
4. Masukkan carrot, lada benggala dan timun, kacau rata.
5. Biarkan pekat sikit dan boleh tuangkan atas ikan tadi.

Ketupat Sotong/ Sotong Sumbat ~ Pedas

Pertama kali cuba membuat ketupat sotong..Buat 2 jenis, pedas dan yang tidak pedas untuk anak-anak. Untuk resepi ini saya sertakan resepi ketupat sotong versi pedas..

Bahan-bahan:

6 ekor sotong ~ buang selaput/kulit luar, bersih dan ditoskan
1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
2 sudu cili kisar
2 ulas bawang kecil**
2 batang serai**
1/2 inci lengkuas**
2 biji buah keras**
**Dikisar/tumbuk halus
2 cawan santan pekat
Garam dan gula secukupnya
Lidi
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:

1. Masak/kukus beras pulut dengan santan cair sehingga separuh masak. Setelah agak sejuk sumbatkan ke dalam sotong. Jangan terlalu penuh/padat, lebih kurang 3/4 badan sotong.
2. Kemudian masukkan kepala sotong dalam sotong tersebut dan sematkan/tutup dengan lidi.
3. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar/tumbuk sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan masak sehingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan sotong. Masukkan juga garam dan gula secukupnya.
5. Masak dengan api sederhana sehingga sotong masak dan kuah agak pekat.

Sambal Peria Katak

Disebalik kepahitannya..Peria katak mempunyai banyak berkhasiat untuk tubuh badan..Saya pun pada mulanya tidak berapa suka tapi bila sudah selalu makan, menjadi sedap pula..Boleh dibuat ulam, masak lemak dan bermacam2 lagi. Untuk resepi ini saya membuat sambal..

Bahan-bahan:

2 biji peria ~ belah 2 buang biji dan dihiris. Untuk membuangkan pahitnya, rendam seketika peria dgn air garam.
1/2 biji bawang besar**
2 biji bawang putih**
5 biji cili kering**
1 sudu besar udang kering**
**Semua bahan dikisar/tumbuk halus
1/2 biji bawang besar ~ dihiris
1 biji bawang putih ~ dihiris
Sejemput ikan bilis
1/2 keping asam keping
Garam dan gula secukupnya
Air
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:

1. Panas minyak dan goreng bawang besar, putih dan ikan bilis sehingga garing. Kemudian diangkat dan ketepikan.
2. Tumiskan pula bahan yg telah dikisar sehingga masak/pecah minyak.
3. Masukkan peria, asam keping dan air. Kacau rata dan biar sehingga masak. Kuah bergantung pada citarasa.
4. Perasakan masam, masim dan manisnya. Bila sudah secukup rasa dan peria masak, masukkan bawang besar, putih dan ikan bilis yg telah digoreng tadi. Gaul rata dan bolehlah diangkat.

Daging Masak Sos Tiram

Lauk yang amat senang untuk disediakan..

Bahan-bahan:

300g daging
3 biji bawang putih ~ diketuk dan dicincang halus
1 biji bawang besar ~ belah 2 dan dihiris
1/2 inci halia ~ dihiris nipis
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1/2 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu besar tepung jagung ~ dibancuh dgn air utk memekatkan kuah
1 tangkai daun bawang
Air
Garam sekiranya perlu
Minyak.

Cara penyediaan:

1. Daging dibasuh bersih dan barulah dipotong. Ini bertujuan untuk mengurangkan air semasa menggoreng daging.
2. Panaskan minyak dan goreng daging dgn menggunakan api besar selama 3 ke 5 minit. Angkat daging.
3. Dengan menggunakan minyak yg sama dlm anggaran 2/3 sudu, tumiskan bawang putih dan halia sehingga sedikit garing.
4. Masukkan bawang besar, daging, sos tiram, serbuk lada putih dan kicap. gaul rata.
5. Masukkan air sebanyak mana kuah yg dikehendaki dan biarkan mendidih. Kemudian masukkan bancuhan tepung jagung kacau seketika dan bolehlah diangkat.
6. Taburkan daun bawang sebelum dihidang.

APA NI..

Beginilah caranya saya membawa durian ataupun tempoyak ke Abu Dhabi..Balik bercuti baru-baru ni, kami sekeluarga sempat untuk menikmati buah durian dengan sepuasnya..Tak cukup dengan makan, saya asingkan isi durian dan masukkan ke dalam bekas aiskrim lalu dibekukan. Setelah betul-betul beku, sehari sebelum balik ke Abu Dhabi barulah saya bungkus bekas aiskrim. Balut terlebih dahulu bekas aiskrim tersebut dengan masking tape, kemudian balutkan pula dengan beberapa helai plastik. Kemudian barulah dibalutkan dengan beberapa lapisan aluminum foil pula. Sebelum masuk ke dalam beg, balutkan sekali lagi dengan kain. Ini untuk memastikan/menjamin supaya bau durian tidak keluar semasa di kaunter check in...

Inilah isi durian yang telah dibekukan..

Telur Dadar BerCheese

Telur..sudah semestinya menjadi kegemaran anak-anak. Telur dadar yg dibuat ini diletakkan cheese dan dijadikan juadah sarapan pagi untuk anak-anak sebelum pergi ke sekolah..Resepinya amat mudah untuk disediakan..

Bahan-bahan:

6 biji telur
1 biji bawang besar ~ belah 2 dan hiris nipis
10 biji bebola ikan(fish ball) ~ hiris nipis (boleh juga menggunakan bahan lain seperti dada ayam, daging ataupun sosej)
Keju secukupnya ~ cheddar ataupun mozzarella
Garam
Minyak.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak, goreng bawang yg telah dihiris sehingga garing dan diangkat.
2. Kemudian gorengkan pula bebola ikan(fish ball) sehingga masak dan diangkat.
3. Didalam 1 bekas, pecahkan telur dan masukkan bawang, fish ball dan garam secukup rasa. Pukul telur bersama bahan-bahan sehingga sebati.
3. Panaskan minyak didalam kuali, apabila minyak sudah panas masukkan telur dan biar sehingga separuh masak.
4. Taburkan keju/cheese cheddar/mozzarella secukupnya diatas telur tersebut.
5. Masukkan telur ke dalam oven dan masak sehingga telur masak dan keju cair. Dengan suhu 200'C selama 5 ke 10 minit. Ataupun tutup kuali dengan menggunakan penutup yang sesuai dan biarkan telur masak atau sehingga keju cair
6. Sedap dimakan bersama cili sos.
** Boleh mempelbagaikan bahan dengan menambah seperti daun sup, daun bawang dan juga cili besar.

Telur yang telah siap untuk digoreng..

Telur telah separuh masak dan ditaburkan dengan cheese..

Dimasukkan ke dalam oven untuk masakkan bahagian atas dan mencairkan cheese..

Sudah masak dan sedia untuk dihidangkan..

Kari Ayam Resepiraidah

Bahan-bahan:

1 ekor ayam ~ potong kecil, basuh dgn asam garam @ dgn tepung gandum dan toskan
2 biji ubi kentang ~ belah 4
2 biji lobak merah ~ potong panjang dan dibelah 2
3 biji cili besar hijau @ merah ~ biar sebiji2
30 g rempah kari ayam/daging ~ bancuh dgn air utk jadikan pes
2 sudu besar cili kisar( jika ingin tambah pedas tapi saya tidak tambah cili)
1 biji bawang besar**
3 ulas bawang putih**
1/2 inci halia**
**ditumbuk/kisar halus
Santan kelapa secukupnya
2 keping asam keping/gelugur ataupun asam jawa secukupnya(ikut citarasa)
Garam dan gula
Air
Minyak untuk menumis.
Bahan tumis:
Rempah 4 sekawan ~ 1 btg kulit kayu manis, 5 kuntum bunga cengkih, 3 biji buah pelaga & 2 kuntum bunga lawang
1 biji bawang besar ~ belah 2 & hiris halus
3 biji bawang putih ~ belah 2 & hiris halus
1/2 inci halia ~ hiris halus mcm batang mancis
1 tangkai daun kari.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan serta bahan tumis lain sehingga garing. Angkatkan semua bahan tumis tersebut dan ketepikan dahulu.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumiskan pula bahan tumbuk/kisar sehingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar dan pes kari. Masak sehingga betul-betul masak atau sehingga terbit minyak. Tambah air jika perlu supaya rempah kari tidak hangit/hangus.
4. Masukkan pula ayam dan ubi kentang, gaul rata dan biarkan selama 10 minit atau sehingga ayam kecut.
5. Kemudian masukkan santan(sebyk mana kuih yg diinginkan), lobak, cili besar, asam keping/asam jawa, garam dan gula secukup rasa dan masak sehingga ayam lembut.
6. Apabila ayam sudah masak, masukkan bahan tumis yang telah siap digoreng tadi dan gaul rata. Biarkan 2 ke 3 minit dan matikan api dan bolehlah dihidangkan.
Related Posts with Thumbnails

Resepi Raidah © 2013. Blog Dikendalikan Oleh SyurgaDiDunia.