Memaparkan catatan dengan label Lauk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lauk. Papar semua catatan

Kari Ikan Sembilang Abu Dhabi


Semasa bercuti di Malaysia baru-baru ini, kami sekeluarga sempat menikmati kari ikan sembilang di sebuah restoran, kebetulan semasa membeli ikan di pasar Abu Dhabi kelmarin ternampak ada ikan sembilang dijual disini. Selidik punya selidik rupanya dari Mesir. Inilah hasilnya... Selamat mencuba!

Bahan-bahan:
  • 1 ekor ikan sembilang
  • 5-6 biji bendi
  • 1 biji tomato ~ belah 4
  • 1 peket kecil@ 2 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 sudu kecil halba campur
  • 1 keping asam keping/gelugur
  • 1 cawan santan pekat
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula
  • Minyak untuk menumis.


Bahan tumis:
  • Rempah 4 sekawan (kayu manis,bunga lawang,bunga cengkih & pelaga)
  • 1/2 inci halia ~ hiris halus
  • 3 ulas bawang putih ~ hiris nipis
  • 1 biji bawang besar ~ hiris nipis
  • 1 tangkai daun kari

~ Panaskan minyak dan gorengkan semua bahan sehingga garing. Angkat dan ketepikan.

Bahan tumbuk/kisar:
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • 1 cm halia.


Cara penyediaan:
  1. Perap ikan dengan garam dan asam(saya guna cuka) lebih kurang 10 minit dan kemudian cuci sehingga bersih.
  2. Dengan menggunakan minyak menggoreng bahan tumis, gorengkan halba campur dan bahan tumbuk/kisar sehingga garing.
  3. Masukkan rempah kari dan sedikit air. Kacau rata dan biarkan sehingga rempah pecah minyak dan kari betul-betul masak. 
  4. Masukkan santan pekat dan air secukupnya(untuk kuah), biarkan mendidih sebentar.
  5. Kemudian masukkan ikan sembilang, asam keping dan bendi, kecilkan api dan biarkan kuah mendidih sehingga ikan masak.
  6. Masukkan garam, gula dan tomato, biarkan seketika. Tutup api dan masukkan bahan tumis yang telah digoreng tadi. Kacau sekejap dan sedia untuk dihidang. 


Ikan sembilang dan bahan rencah

Halba campur

Rempah 4 sekawan,bawang putih,bawang besar dan halia yang telah digoreng


Kari ikan sembilang..

Kari Ikan Sardin (Mackarel)

Adakala kuah roti canai yang dibeli dikedai agak kurang enak, jadi untuk santapan keluarga apabila membeli roti canai dikedai untuk dimakan dirumah, saya sediakan kari ikan sardin yang mudah untuk disediakan ini.

Bahan-bahannya:

1 tin besar sardin Mackarel
1 pek kecil serbuk kari
**3 ulas bawang putih
**1 biji bawang besar
**1/2 inci halia
**semua bahan ditumbuk/mesin kasar
2 ulas bawang putih ~ dimayam halus
1 biji bawang besar ~ dihiris
1 tangkai daun kari
2 keping asam keping
1 biji tomato ~ belah 4
1 cawan santan
Air
Garam dan gula
Minyak

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak. Goreng bawang putih dan bawang besar yang telah dihiris sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
2. Dalam anggaran 3 sudu besar minyak, tumiskn bahan-bahan yg telah ditumbuk sehingga wangi.
3. Masukkan rempah kari, daun kari dan sedikit air. Masak sehingga terbit minyak. Kalau kering tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga betul-betul masak dan terbit minyaknya.
4. Masukkan santan, asam keping dan ikan sardin, masak sehingga mendidih.
5. Perasakan masin, masam dan manisnya.
6. Masukkan tomato dan bawang yg telah digoreng tadi. Didihkan sebentar dan bolehlah diangkat.

Walaupun mudah akan tetapi memakan masa juga kerana masa untuk rempah kari itu naik minyaknya dalam proses menumis, Kalau mahu segera tak perlulah tunggu kari yang ditumis tadi naik minyaknya tetapi kurang umphlah rasanya nanti.


Kerapu Masam Manis

  • 1 ekor ikan kerapu ~ 
  • 2 biji tomato ~ dipotong dadu
  • 1 batang karot ~ dipotong dadu
  • 1 biji timun ~ dipotong dadu
  • 1 labu bawang besar ~ dipotong bulat
  • 5 ulas bawang putih ~ ditumbuk kasar
  • 1 labu bawang besar ~ dipotong dadu
  • 1/2 inci halia ~ dihiris nipis
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1/2 cawan sos cili
  • 1 susu kecil tepung jagung ~ bancuh dgn sedikit air
  • Serbuk kunyit dan 2 sudu tepung jagung
  • Garam dan gula
  • Air
  • Minyak
Cara penyediaan:

Ikan yang saya gunakan agak besar, jadi untuk memudahkan memasak saya potong dua, maklumla kan kuali tak besar macam yang dikedai makan.

1. Bersihkan ikan, kemudian lumurkan ianya dengan serbuk kunyit, garam dan tepung jagung.
2. Panaskan minyak secukupnya untuk goreng deep fry dan goreng ikan sehingga garing. Gunakan api sederhana supaya ikan tidak hangit/hangus. Angkat dan ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak(ambil minyak gorengan tadi) dan tumis bawang putih, bawang besar yang dipotong dadu dan halia sehingga naik bau.
4. Masukkan bahan sos dan tomato, karot, timun dan bawang hiris serta bahan sos. Kacau sebati, kalau ingin berkuah, masukkan sedikit air.
5. Perasakan dengan garam dan gula. Masuk kan bancuhan tepung jagung (untuk memekatkan kuah) dan kacau sebentar.
6. Angkat dan bolehlah dituangkan ke atas ikan yang telah digoreng tadi. Boleh hiaskan dengan potongan daun bawang dan sup.

Sedia untuk dihidangkan.

Ketupat Sotong ~ Versi Tidak Pedas

Ketupat sotong yang tidak pedas ini buat untuk anak-anak yang tidak makan pedas..Bolehlah cuba untuk juadah berbuka puasa..


Bahan-bahan:

1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
6 ekor sotong ~ buang selaput/kulit luar, bersih dan toskan
2 cawan santan pekat
3 biji bawang merah ~ dihiris
1/2 inci halia ~ dihiris
1 sudu kecil halba
Garam dan gula secukupnya
Lidi (saya guna lidi satay)

Cara penyediaan:

1. Masak/kukus beras pulut dengan santan cair sehingga separuh masak. Setelah agak sejuk, sumbatkan ke dalam sotong. Jangan terlalu penuh/padat, lebih kurang 3/4 badan sotong.
2. Kemudian masukkan kepala sotong dalam badan sotong tersebut dan sematkan/tutup dengan lidi supaya pulut tidak terkeluar.
3. Masak sotong tersebut dengan 2 cawan santan pekat dengan menggunakan api yang sederhana.
4. Apabila kuah mendidih, masukkan bawang, halia, halba, garam dan gula secukupnya.
5. Masak sehingga kuah agak pekat atau bergantung pada citarasa.


Ikan Masak Taucu

Ikan masak taucu, resepi yang mudah untuk disediakan...

Bahan-bahan:

2 keping ikan tenggiri (ikan lain pun boleh guna seperti kembung, bawal dll)
2 sudu besar atau secukupnya taucu
Air asam jawa secukupnya
1 batang karot ~ potong kecil
1 batang timun ~ potong kecil
1/2 biji lada benggala ~ potong kecil
Serbuk kunyit
Garam dan gula
Air
Minyak.

Bahan hiris/mayam:

3 ulas bawang putih
2 biji bawang besar(boleh kurangkan)
1/2 inci halia
5 biji atau lebih cili api.

Cara penyediaan:

1. Bersihkan ikan, gaul dengan garam dan kunyit. Goreng sehingga garing dan ketepikan.
2. Panaskan minyak, tumis bawang putih, merah, halia dan cili api sehingga wangi.
3. Masukkan taucu, air asam jawa dan gula(jika tidak masin bolehlah tambah garam/taucu). Biarkan mendidih dan rasakan masin, masam dan manis secukupnya. Kuah bergantung pada citarasa.
4. Masukkan carrot, lada benggala dan timun, kacau rata.
5. Biarkan pekat sikit dan boleh tuangkan atas ikan tadi.

Ketupat Sotong/ Sotong Sumbat ~ Pedas

Pertama kali cuba membuat ketupat sotong..Buat 2 jenis, pedas dan yang tidak pedas untuk anak-anak. Untuk resepi ini saya sertakan resepi ketupat sotong versi pedas..

Bahan-bahan:

6 ekor sotong ~ buang selaput/kulit luar, bersih dan ditoskan
1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
2 sudu cili kisar
2 ulas bawang kecil**
2 batang serai**
1/2 inci lengkuas**
2 biji buah keras**
**Dikisar/tumbuk halus
2 cawan santan pekat
Garam dan gula secukupnya
Lidi
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:

1. Masak/kukus beras pulut dengan santan cair sehingga separuh masak. Setelah agak sejuk sumbatkan ke dalam sotong. Jangan terlalu penuh/padat, lebih kurang 3/4 badan sotong.
2. Kemudian masukkan kepala sotong dalam sotong tersebut dan sematkan/tutup dengan lidi.
3. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar/tumbuk sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan masak sehingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan sotong. Masukkan juga garam dan gula secukupnya.
5. Masak dengan api sederhana sehingga sotong masak dan kuah agak pekat.

Daging Masak Sos Tiram

Lauk yang amat senang untuk disediakan..

Bahan-bahan:

300g daging
3 biji bawang putih ~ diketuk dan dicincang halus
1 biji bawang besar ~ belah 2 dan dihiris
1/2 inci halia ~ dihiris nipis
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1/2 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu besar tepung jagung ~ dibancuh dgn air utk memekatkan kuah
1 tangkai daun bawang
Air
Garam sekiranya perlu
Minyak.

Cara penyediaan:

1. Daging dibasuh bersih dan barulah dipotong. Ini bertujuan untuk mengurangkan air semasa menggoreng daging.
2. Panaskan minyak dan goreng daging dgn menggunakan api besar selama 3 ke 5 minit. Angkat daging.
3. Dengan menggunakan minyak yg sama dlm anggaran 2/3 sudu, tumiskan bawang putih dan halia sehingga sedikit garing.
4. Masukkan bawang besar, daging, sos tiram, serbuk lada putih dan kicap. gaul rata.
5. Masukkan air sebanyak mana kuah yg dikehendaki dan biarkan mendidih. Kemudian masukkan bancuhan tepung jagung kacau seketika dan bolehlah diangkat.
6. Taburkan daun bawang sebelum dihidang.

Telur Dadar BerCheese

Telur..sudah semestinya menjadi kegemaran anak-anak. Telur dadar yg dibuat ini diletakkan cheese dan dijadikan juadah sarapan pagi untuk anak-anak sebelum pergi ke sekolah..Resepinya amat mudah untuk disediakan..

Bahan-bahan:

6 biji telur
1 biji bawang besar ~ belah 2 dan hiris nipis
10 biji bebola ikan(fish ball) ~ hiris nipis (boleh juga menggunakan bahan lain seperti dada ayam, daging ataupun sosej)
Keju secukupnya ~ cheddar ataupun mozzarella
Garam
Minyak.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak, goreng bawang yg telah dihiris sehingga garing dan diangkat.
2. Kemudian gorengkan pula bebola ikan(fish ball) sehingga masak dan diangkat.
3. Didalam 1 bekas, pecahkan telur dan masukkan bawang, fish ball dan garam secukup rasa. Pukul telur bersama bahan-bahan sehingga sebati.
3. Panaskan minyak didalam kuali, apabila minyak sudah panas masukkan telur dan biar sehingga separuh masak.
4. Taburkan keju/cheese cheddar/mozzarella secukupnya diatas telur tersebut.
5. Masukkan telur ke dalam oven dan masak sehingga telur masak dan keju cair. Dengan suhu 200'C selama 5 ke 10 minit. Ataupun tutup kuali dengan menggunakan penutup yang sesuai dan biarkan telur masak atau sehingga keju cair
6. Sedap dimakan bersama cili sos.
** Boleh mempelbagaikan bahan dengan menambah seperti daun sup, daun bawang dan juga cili besar.

Telur yang telah siap untuk digoreng..

Telur telah separuh masak dan ditaburkan dengan cheese..

Dimasukkan ke dalam oven untuk masakkan bahagian atas dan mencairkan cheese..

Sudah masak dan sedia untuk dihidangkan..

Kari Ayam Resepiraidah

Bahan-bahan:

1 ekor ayam ~ potong kecil, basuh dgn asam garam @ dgn tepung gandum dan toskan
2 biji ubi kentang ~ belah 4
2 biji lobak merah ~ potong panjang dan dibelah 2
3 biji cili besar hijau @ merah ~ biar sebiji2
30 g rempah kari ayam/daging ~ bancuh dgn air utk jadikan pes
2 sudu besar cili kisar( jika ingin tambah pedas tapi saya tidak tambah cili)
1 biji bawang besar**
3 ulas bawang putih**
1/2 inci halia**
**ditumbuk/kisar halus
Santan kelapa secukupnya
2 keping asam keping/gelugur ataupun asam jawa secukupnya(ikut citarasa)
Garam dan gula
Air
Minyak untuk menumis.
Bahan tumis:
Rempah 4 sekawan ~ 1 btg kulit kayu manis, 5 kuntum bunga cengkih, 3 biji buah pelaga & 2 kuntum bunga lawang
1 biji bawang besar ~ belah 2 & hiris halus
3 biji bawang putih ~ belah 2 & hiris halus
1/2 inci halia ~ hiris halus mcm batang mancis
1 tangkai daun kari.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan serta bahan tumis lain sehingga garing. Angkatkan semua bahan tumis tersebut dan ketepikan dahulu.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumiskan pula bahan tumbuk/kisar sehingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar dan pes kari. Masak sehingga betul-betul masak atau sehingga terbit minyak. Tambah air jika perlu supaya rempah kari tidak hangit/hangus.
4. Masukkan pula ayam dan ubi kentang, gaul rata dan biarkan selama 10 minit atau sehingga ayam kecut.
5. Kemudian masukkan santan(sebyk mana kuih yg diinginkan), lobak, cili besar, asam keping/asam jawa, garam dan gula secukup rasa dan masak sehingga ayam lembut.
6. Apabila ayam sudah masak, masukkan bahan tumis yang telah siap digoreng tadi dan gaul rata. Biarkan 2 ke 3 minit dan matikan api dan bolehlah dihidangkan.

Sotong Goreng Kunyit

Bahan-bahan:

250g sotong ~ bersihkan dan dipotong bulat
3 ulas bawang putih ~ diketuk dan dicincang halus
1 biji bawang besar ~ dipotong bulat
1 batang daun bawang ~ dipotong dalam 1 inci
1 sudu kecil kunyit serbuk
Garam dan sedikit gula
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih sehingga garing. Kemudian masukkan sotong, bawang besar dan kunyit.
2. Perasakan dengan garam dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan daun bawang, kacau rata dan bolehlah diangkat. (Masak sotong sekejap saja kerana sotong akan menjadi keras jika dimasak lama)

Asam Pedas(Tumis) Daging

Asam pedas daging ini saya buat agak pekat dan kurang minyak, nampak seperti kari pun ada..

Bahan-bahan:

300g daging ~ dihiris
2 helai daun limau purut
2 batang serai ~ diketuk
1 cm belacan (jika suka)
Jus Asam jawa secukupnya
Garam dan gula
Air

Bahan tumis:

15 biji(lebih atau kurang) cili kering(potong kemudian rebus, basuh dan toskan airnya)**
2 biji bawang besar**
4 ulas bawang putih**
1/2 inci halia**
1 cm lengkuas**
1/2 sudu kecil jintan manis**
1/2 sudu kecil jintan putih**
Minyak

** Hiris bawang besar, bawang putih, halia dan lengkuas. Kemudian tumiskan semua bahan** sehingga masak. Kisar sehingga hancur bersama dengan minyaknya sekali, dijadikan pes.


Cara penyediaan:

1. Panaskan periuk dan masukkan bahan yang telah dikisar dan masak sehingga terbit minyak.
2. Masukkan air, belacan, serai dan daging. Masak sehingga daging empuk.
3. Setelah daging empuk, masukkan air asam jawa, daun limau purut, garam dan gula secukup rasa.

Udang Goreng Tepung


Bahan-bahan:

Udang secukupnya
1/2 cawan tepung perasa serbaguna
1/2 cawan tepung beras
1 sudu kecil baking powder
1 cawan @ secukupnya air
~ Satukan semua bahan dan bancuh dgn air. Pastikan bancuhan tidak terlalu pekat ataupun cair.
Bahan sampingan ~ 1/2 cawan tepung perasa serbaguna untuk menyalut udang.
Minyak secukupnya untuk menggoreng.

Cara penyediaan:

1. Udang yang telah dibersihkan gaulkan dengan tepung. Kemudian celupkan udang tersebut ke dalam bancuhan tepung(batter).
2. Goreng ke dalam minyak yang telah dipanaskan sehingga kuning keemasan.
3. Angkat dan toskan.

Tomyam Udang Bersantan

Bahan-bahan:

250g udang
4 biji cili padi ~ diketuk
100 cendawan butang ~ dibelah 2
1 biji tomato ~ dibelah 4
2 cawan santan atau secukupnya
1 batang serai ~ diketuk
1 inci lengkuas ~ dihiris
1 biji lemon ~ ambil jusnya
3 sudu besar sos ikan (Nampla)
4 helai daun limau purut
Garam dan gula.

Cara penyediaan:

1. Masukkan santan, lengkuas, serai dan daun limau purut ke dalam periuk.
2. Gunakan api yang sederhana dan masak sehingga kuah mendidih. Kuah hendaklah sentiasa dikacau untuk menggelakkan pecah minyak.
3. Masukkan udang, cendawan, tomato dan sos ikan, perasakan dgn garam(kalau tak masin) dan sedikit gula.
4. Akhir sekali masukkan jus lemon dan cili, matikan api. Kalau tidak masam, bolehlah ditambah lagi jus lemon mengikut citarasa.

Masak Lemak Ikan Keli Salai

Tahun ni saya berpuasa dan berhari raya di M'sia. Di Abu Dhabi, kalau nak makan apa2 kenalah masak sendiri. Jadi dah balik ni, angin memasak tu ada masa2nya je..Ikan keli salai ni mmg teringin nak masak sendiri..dekat kawasan rumah saya ni ada kedai menjual ikan keli salai. Jadi senang beli je ikan keli salai, balik rumah masak je..

Bahan-bahan:

5 ekor atau secukupnya ikan keli salai
1 biji bawang besar**
2 ulas bawang putih(kalau tak suka tak payah letak)**
10 biji cili api (boleh tambah/kurangkan)**
1 biji cili besar**
**ditumbuk atau kisar
3 batang serai ~ diketuk
1/2 sudu atau secukupnya serbuk kunyit
Santan secukupnya
2 keping asam keping/gelugur
Garam dan gula.

Cara penyediaan:

1. Masukkan bahan yg telah ditumbuk/kisar ke dalam kuali atau periuk. Kemudian masukkan santan, serbuk kunyit, serai dan asam keping/gelugur.
2. Masakkan bahan tersebut sehingga mendidih. Kemudian masukkan ikan keli salai dan masaklah sehingga masak. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula.
**Kuah bergantung kepada cita rasa, kalau ingin berkuah lebihkan santan.


Stew Daging Resepiraidah

Resepi stew daging yg disediakan mengikut cita rasa saya sendiri..

Bahan-bahan:

500gm daging lembu/kambing ~ bersihkan dan potong kiub
2 biji bawang besar ~ potong dadu
5 ulas bawang putih (jgn hiris/potong, sebiji2)
2 sudu pes bawang
1 batang lobak merah ~ potong dlm 1 inci
2 biji kentang ~ belah 4
2 helai daun bay
2 sudu tepung gandum
1 sudu kecil serbuk lada hitam
Garam dan gula
Sedikit daun bawang, sup dan bawang goreng ~ utk hiasan
Minyak untuk menumis
Air secukupnya.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak didalam periuk tekanan(pressure cooker) atau periuk yg sesuai. Gaulkan daging bersama serbuk lada hitam dan gorengkan daging lebih kurang 10-15 minit atau daging keperangan. Kemudian angkat daging.
2. Tumiskan bawang putih, merah dan daun bay. Kemudian masukkan pes bawang dan tepung gandum, kacau rata.
3. Masukkan semula daging dan air secukupnya, kacau rata. Tutup periuk dan masak selama 1 1/2 hingga 2 jam(kalau menggunakan periuk tekanan, masak selama 20 minit).
4. Kemudian tambahkan kentang dan lobak. Tutup dan masak lagi selama 20minit atau sehingga sayuran empuk/lembut.
5. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Hidangkan dengan ditaburkan dgn bawang goreng, daun sup dan daun bawang.
***Saya tidak menggunakan sebarang perasa(MSG/stok ayam) dlm masakan saya. Saya menggantikan dgn gula serta menggunakan bawang yg banyak dlm setiap masakan.


Daging sedang digoreng..

Daging yg siap digoreng..

Tumis bawang besar, bawang putih..masukkan tepung..

Masukkan air dan tutupkan periuk..

Tutup periuk dan masak sehingga daging betul2 empuk..

Sedia dihidangkan..

Patin Masak Tempoyak


Resepi masak tempoyak yg dipelajari dari arwah mak saya amat mudah dan ringkas. Tidak menggunakan bawang tapi hanya menggunakan cili api sahaja. Ikan patin memang terkenal di tempat saya, Temerloh..

Bahan-bahan:

1 ekor ikan patin(angaran 1kg)
20 biji cili api (kalau nak pedas boleh ditambah lagi)
1 helai daun kunyit
3 batang serai(diketuk)
1 inci kunyit hidup atau sedikit kunyit serbuk
3 sudu besar atau secukupnya tempoyak
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan:

1. Kisar cili api bersama kunyit hidup.
2. Masukkan air ke dalam periuk kemudian masukkan bahan kisar,serai dan tempoyak, biarkan sehingga mendidih.
3. Kemudian masukkan ikan patin, perasakan dgn garam dan gula secukup rasa.
4. Jika tidak masam, boleh ditambahkan lagi tempoyak.

Masak Lemak Ketam Lada Hitam

Bila memasak gulai/masak lemak, saya selalunya akan menggunakan yogurt. Maklumlah di sini yogurt mmg senang untuk diperolehi. Di dalam resepi lemak ketam ni, saya menggunakan yogurt dan juga santan..tidak meletakkan asam keping/gelugur, rasa masam hanya dari yogurt..

Bahan-bahan:

3 ekor ketam ~ bersihkan dan belah 2
1 biji bawang besar ~ saya kisar bersama 1/2 cawan yogurt
2 cawan santan (blh tambah kalau nk kuah lebih)
1 batang serai ~ dititik
1 sudu teh serbuk lada hitam serbuk
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa dan sedikit gula

Cara penyediaan:

1. Masukkan serai, lada hitam, serbuk kunyit, santan dan bawang yg telah dikisar dgn yogurt tadi ke dalam periuk.
2. Masak kuah tersebut selama 2 ke 3 minit. Kemudian masukkan ketam, pastikan kuah hendaklah sentiasa dikacau supaya ianya tidak pecah minyak.
3. Tambahkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Bila ketam sudah masak(ketam bertukar warna kemerahan), bolehlah diangkat.
** Jika menggunakan santan, tambahkan 1 ke 2 keping asam keping/gelugur. Boleh juga gantikan lada hitam kepada cili api.

Ayam Panggang ResepiRaidah

Ayam ni pada mulanya nak masak tandoori. Tapi disebabkan yogurt sudah habis, jadi saya panggang dgn menggunakan rempah ratus sahaja..

Bahan-bahan:

1 ekor ayam belah 4 ~ buang kulit, bersihkan dan dikelar-kelar
1 sudu kecil serbuk bawang putih(garlic powder)
1 sudu kecil serbuk halia(ginger powder)
1/2 sudu kecil serbuk jintan
1/2 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk cili(saya guna serbuk )paprika
Garam secukupnya dan sedikit gula(jika suka)

Cara penyediaan:

1. Satukan semua rempah dan gaul ratakan dgn ayam. Untuk rasa yg lebih sedap, seeloknya perapkan dahulu ayam sekurang2nya setengah jam. Kalau perapkan lebih lama rasanya lagi sedap.
2. Masukkan dalam dulang pembakar dan bakar ayam dgn suhu 250'C selama 1 jam. Balikkan ayam selepas setengah jam dan keluarkan jus/air yg keluar dari ayam untuk mendapatkan ayam yg garing.


Kurma Ayam ResepiRaidah

Resepi kurma ayam yg senang dan ringkas, pasti sesiapa saja boleh membuatnya..

Bahan-bahan:
1 ekor ayam ~ potong kecil
1 cawan santan pekat
3 cawan (atau secukupnya) santan cair
2 biji bawang besar **
5 ulas bawang putih**
1/2 inci halia**
**Saya tumbuk kasar
1 biji bawang besar ~ belah 4
2 biji kentang ~ belah 4
Rempah 4 sekawan ~ kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang&buah pelaga
1 bungkus kecil(dlm 24gm) rempah serbuk kurma ayam dan daging ~ bancuh dgn sedikit air utk dijadikan pes
Garam secukup rasa dan sedikit gula
Sedikit minyak(dlm 2/3 sudu besar).

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan. Kemudian masukkan pula bahan tumbuk dan goreng sehingga agak garing.
2. Masukkan pes kurma ayam & daging. Jika pes kelihatan agak kering, masukkan santan sedikit demi dan masak pes sehingga terbit minyak.
3. Masukkan ayam dan kacau rata, biarkan ayam seketika sehingga ayam kecut.
4. Kemudian masukkan pula santan, bawang besar dan kentang. Biar sehingga kentang empuk.(Masukkan santan secukupnya ikut kuih yg dikehendaki).
5. Masukkan pula santan pekat, garam secukup rasa dan sedikit gula.
6. Bila kuah mendidih, bolehlah matikan api.

Gulai Tempoyak Ikan Kembung

Kalau balik kg saya di Temerloh, ikan yg digunakan sudah semestinya ikan 'patin'..Aduh rindunya nak menikmati keenakan ikan patin masak tempoyak..tapi nak buat macamana kan..tak dapat ikan patin, ikan kembung pun jadilah..tempoyak memang saya bawa dari m'sia..

Bahan-bahan:
2 ekor ikan kembung ~ bersihkan
15 biji lebih atau kurang cili api ~ tumbuk
1 batang serai ~ ketuk
2 sudu atau lebih tempoyak
1 tangkai daun kesum ~ jika suka
1 helai daun kunyit(saya tak letak sebab tak ada) ~ jika suka
Serbuk kunyit secukupnya(lebih sedap kalau guna kunyit hidup ~1cm)
Garam dan sedikit gula.
Air ~ ikut pekat kuah yg diingini

Cara penyediaan:

1. Masukkan cili api yg telah ditumbuk, tempoyak, serai, kunyit dan air ke dalam periuk. Kacau rata supaya tempoyak hancur dan tidak berketul. Masakkan bahan2 sehingga mendidih.
2. Kemudian masukkan ikan, daun kesum dan biarkan ikan sehingga masak. Tambahkan garam dan sedikit gula. Kalau kuah tidak masam, bolehlah ditambahkan tempoyak lagi(biasanya rasa masam ikan hanya dari tempoyak sahaja, saya tidak letak asam keping. Tapi kalau tidak suka kuah yg agak pekat, bolehlah ditambah asam keping utk menambah masam).
3. Bila ikan sudah masak, bolehlah diangkat.

Satu lagi cara memasak ikan:
~ Masukkan cili, serai, serbuk kunyit, tempoyak dan air ke dalam periuk, kacau rata hingga tempoyak hancur.
~ Kemudian masukkan ikan dan renihkan. Masukkan daun kunyit, daun kesum dan masak sehingga mendidih. Masukkan garam dan sedikit gula. Bolehlah diangkat.
Related Posts with Thumbnails

Resepi Raidah © 2013. Blog Dikendalikan Oleh SyurgaDiDunia.