Bendi Goreng Sos Tiram

Masak sayur bendi kali ini, saya rebus dahulu bendi dan dibuang airnya. Kemudian saya potong pangkal dan hujung bendi tersebut dan baru ditumis dengan bahan2 lain. Jadi kuranglah lendir dari bendi tersebut.

Bahan-bahan:


15 biji bendi
5 ulas bawang putih ~ didadu kecil2
1 sudu besar udang kering yg telah disangai dan dimesin halus
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap cair
2 keping asam keping ~ guna untuk merebus bendi
Air
Garam (jika perlu) dan sedikit gula
Minyak untuk menumis
**Kalau ingin pedas, bolehlah tambah cili api yg diketuk atau ditumbuk.


Cara penyediaan:

1. Panaskan air dan masukkan asam keping ke dalam periuk. Bila air mendidih masukkan bendi yg telah dibersihkan dan masak hingga bendi masak. Angkat dan toskan airnya. Bila dah agak sejuk buangkan hujung dan pangkal bendi tadi.
2. Panaskan minyak dan gorengkan bawang putih sehingga garing dan angkat bawang tadi.
3. Dengan menggunakan api yg besar, masukkan sos tiram dan kicap serta air. Kacau rata. Perasakan masinnya. Saya suka letak sedikit gula utk menyedapkan lagi rasa. Masukkan bendi dan tutupkan api.
4. Angkat dan taburkan dengan bawang putih yang telah digoreng dan udang kering.

Nasi Goreng ResepiRaidah



Bahan-Bahan:

2 mangkuk nasi
100g daging ~ dihiris
5 biji bawang putih ~ diketuk dan cincang halus
3 biji cili api (boleh ditambah jika mahu pedas) ~ dihiris
2 pokok/batang pak choi/sawi cina ~ potong ikut suka (saya potong bawah saja)
2 sudu sos tiram
1 sudu kicap cair
1 sudu sos ikan (nampla)
Garam ~ jika perlu
Minyak untuk menumis

Cara Penyediaan:

1. Panaskan minyak (anggaran 2-3 sudu) dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga garing (kuning keemasan).
2.Masukkan daging dan goreng hingga masak.
3.Kemudian masukkan cili padi dan goreng sebentar.
4.Masukkan pak choi, kacau sebentar saja. Kemudian, terus masukkan sos tiram, kicap cair, sos nampla dan juga nasi. Gaul rata.
5.Rasakan kalau kurang masin, bolehlah tambah kicap cair atau garam. Sedia dihidangkan.

Roti Celup Telur

Roti celup telur ni biasanya dibuat untuk bekalan anak2 ke sekolah. Senang dan cepat untuk menyediakannya..

Bahan-bahan:

Roti Hotdog
3 biji telur
1 biji bawang besar ~ potong dadu
1 biji tomato ~ buang biji dan potong dadu
1/2 sudu kecil serbuk lada sulah
Garam secukup rasa
Butter/minyak.
Bahan sampingan mayonis, cili sos dan salad.

Cara penyediaan:

1. Belah/potong dua roti dan ketepikan.
2. Pecahkan telur dan masukkan bawang, tomato, garam dan serbuk lada sulah. Kacau sebati.
3. Panaskan sedikit butter/minyak ke dalam kuali. Tuang adunan telur dan letak roti atas adunan tersebut.
4. Masakkan sehingga adunan telur masak, terbalikkan jika suka.
5. Angkat roti dan bolehlah paipkan/sapukan dengan mayonis dan cili sos. Letak salad dan tutup semula roti.

Sambal Tumis Kerang

Bahan-bahan:


3-4 kg kerang ~ direbus dan ambil isinya
3 ulas bawang putih ~ ditumbuk/kisar
2 biji bawang besar ~ ditumbuk/kisar
3 sudu(kurang atau lebih) cili yg telah dikisar
2 biji bawang besar ~ dihiris
1 cm (sedikit saja) belacan(jika suka) ~ kisar/tumbuk bersama bawang
1 sudu besar air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
Sedikit air ~ jika perlu.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga masak dan pecah/terbit minyak.
2. Masukkan kerang, hirisan bawang besar dan air asam jawa. Gaul rata.
3. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Jika inginkan kuah, tambahkan air.
4. Apabila kerang sudah sebati dengan sambal, bawang sudah masak bolehlah diangkat.

Singgang Daging

Masakkan yang sangat senang untuk disediakan, enak dimakan bersama sambal belacan ataupun sambal kicap..

Bahan-bahan:
250 g daging/tulang
1 biji bawang besar ~ dihiris
2 ulas bawang putih ~ dihiris
1/2 inci halia ~ dihiris
1/2 incin lengkuas ~ dihiris
1/2 sudu kecil ketumbar ~ ditumbuk kasar
1/2 sudu kecil lada hitam ~ ditumbuk kasar atau boleh gantikan dgn 2/3 biji cili api yg diketuk
1 keping atau secukupnya asam keping/gelugur
1 biji tomato ~ belah 2 @ 4 (kalau suka)
Garam dan gula
Air

Cara penyediaan:
1. Masukkan daging, bawang, halia, lengkuas, ketumbar dan lada hitam/cili api ke dalam periuk. Masukkan air dan rebus sehingga daging empuk.
2. Setelah daging empuk, masukkan asam keping, garam secukup rasa dan sedikit gula.
3. Setelah masakan telah secukup rasa, masukkan tomato dan bolehlah matikan api.

Ikan Keli Salai Masak Lemak Dengan Pucuk Ubi

Bahan-bahan:

4 ekor ikan keli salai
1 ikat pucuk ubi
1 biji bawang besar**
2 ulas bawang putih(kalau tak suka tak payah letak)**
15 biji(lebih@kurang) cili api**
1/2 inci kunyit hidup**
** Ditumbuk/kisar
2 keping asam keping/gelugur
2 cawan atau secukupnya santan
2 batang serai ~ diketuk
Garam dan gula secukup rasa.

Cara penyediaan:

1. Pucuk ubi yg telah disiang, celur sebentar didalam air mendidih. Angkat dan toskan airnya.
2. Masukkan ikan, pucuk ubi, bahan yg telah ditumbuk, serai, asam keping dan santan ke dalam periuk. Masak dengan menggunakan api perlahan.
3. Apabila mendidih, perasakan dgn garam dan gula secukup rasa. Bolehlah diangkat.

Kerabu Taugeh Daging Salai/Panggang

Biasanya kita selalu mencampurkan kerang didalam kerabu taugeh. Disebabkan kerang tidak ada di Abu Dhabi(tidak pernah nampak pun dijual dipasaraya maupun pasar basah), daging salai dijadikan sebagai ganti..

Bahan-bahan:


400 g taugeh
100 g daging salai/panggang ~ hiris nipis2
1 biji tomato ~ dibuang biji dan dihiris memanjang
1 biji bawang besar ~ dihiris
1 sudu besar udang kering ~ goreng tanpa minyak/sangai
3 biji cili api ~ dihiris
1/2 cawan kelapa ~ jadikan kerisik
2 sudu besar jus lemon/limau
Garam secukup rasa dan sedikit gula

Cara penyediaan:

1. Panaskan air didalam periuk. Apabila air mendidih, tutup api dan masukkan taugeh. Jangan biarkan lama, terus toskan.
2. Hiriskan daging, tomato, cili merah dan cili api. Tumbuk udang kering sehingga lumat.
3. Didalam bekas yang sesuai, masukkan taugeh, daging, bahan yg telah dihiris, kerisik, udang kering. Gaul rata.
4. Akhir sekali masukkan air perahan lemon/limau atau air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Sedia dihidang.

Gulai Lemak Nangka Muda Dengan Udang

Bahan-bahan:

500 g (beli di pasar/kedai yg dah siap disiang) ~ bersihkan, direbus sehingga empuk dan toskan airnya.
200 g udang(atau secukupnya)
1 biji bawang besar ~ ditumbuk**
10 biji cili api(boleh tambah)**
1 cm belacan (optional)**
**Ditumbuk/kisar
2 batang serai ~ diketuk
1 sudu kecil serbuk kunyit atau 1 inci kunyit hidup(ditumbuk/kisar)
1 keping asam keping/gelugur
600ml atau secukupnya santan
Garam dan gula secukup rasa.

Cara penyediaan:

1. Masukkan nangka muda yg telah direbus, bahan yg ditumbuk/kisar, serai, kunyit, asam gelugur dan santan ke dalam periuk. Kacau rata dan masaklah dgn menggunakan api yg sederhana. Kuah hendaklah dikacau selalu supaya tidak pecah minyak.
2. Apabila mendidih, masukkan udang, garam dan gula secukup secukup rasa.
3. Bila udang sudah masak bolehlah diangkat.

Tomyam Udang Bersantan

Bahan-bahan:

250g udang
4 biji cili padi ~ diketuk
100 cendawan butang ~ dibelah 2
1 biji tomato ~ dibelah 4
2 cawan santan atau secukupnya
1 batang serai ~ diketuk
1 inci lengkuas ~ dihiris
1 biji lemon ~ ambil jusnya
3 sudu besar sos ikan (Nampla)
4 helai daun limau purut
Garam dan gula.

Cara penyediaan:

1. Masukkan santan, lengkuas, serai dan daun limau purut ke dalam periuk.
2. Gunakan api yang sederhana dan masak sehingga kuah mendidih. Kuah hendaklah sentiasa dikacau untuk menggelakkan pecah minyak.
3. Masukkan udang, cendawan, tomato dan sos ikan, perasakan dgn garam(kalau tak masin) dan sedikit gula.
4. Akhir sekali masukkan jus lemon dan cili, matikan api. Kalau tidak masam, bolehlah ditambah lagi jus lemon mengikut citarasa.

Murtabak Maggi

Jika telah ketandusan idea untuk menyediakan juadah berbuka, cubalah pula murtabak maggi..

Bahan-bahan:

1 bungkus maggi(mee segera) ~ celur, saya basuh untuk membuang kanji dan toskan(perencah maggi dibuang)
3 biji telur
1 biji bawang besar ~ dihiris
2 ulas bawang putih ~ ketuk dan hiris
1/2 biji cili merah ~ hiris(saya tak letak sbb anak tak mkn)
1 batang daun bawang ~ hiris
1/2 sudu kecil lada sulah
Garam
Sedikit minyak.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan merah sehingga agak garing, angkat.
2. Pecahkan telur ke dalam mangkuk, kemudian masukkan bawang yg telah digoreng, cili merah, daun bawang, lada sulah dan garam. Pukul sehingga kembang.
3. Masukkan adunan ke dalam maggi dan kacau rata.
4. Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak, goreng adunan telur dan maggi dengan menggunakan api yang sederhana sehingga masak.
** Boleh mempelbagaikan lagi bahan2 seperti kentang dan daging/ayam yg dipotong kecil dan ditumis dgn bawang putih&besar serta dimasukkan sedikit serbuk kari seperti membuat inti karipap lalu dicampurkan ke dalam adunan telur.

Air Bandung F&N Strawberry

Setelah mencuba air bandung dengan menggunakan air F&N hijau, saya cuba pula air yang berperisa strawberry. Kalau nak merasainya kenalah cuba sendiri..

Bahan-bahan:

1 botol 1.5L air F&N strawberry (jenama lain pun boleh)
1 liter air
1 tin susu sejat/cair
Gula mengikut citarasa
Ais secukupnya.

Cara penyediaan:

1. Masukkan Air dan gula ke dalam bekas yang sesuai, kemudian kacau gula sehingga larut.
2. Campurkan air F&N strawberry, kacau rata.
3. Kemudian masukkan susu sejat/cair dan kacau hingga susu dan air sebati(mula2 susu akan berketul2 bila dimasukkan ke dalam air. Kacau dgn kuat supaya air dan susu sebati).
4. Masukkan ais dan bolehlah dihidangkan.

Air Bandung "Fanta" Hijau

Di bulan Ramadhan ini, minuman anak2 sudah semestinya yang berais. Setiap hari mesti minuman yang berbeza diminta oleh mereka..Salah satunya air fanta buah2an hijau ini..

Bahan-bahan:

Air
Air fanta hijau
Susu cair
Gula mengikut citarasa
Nata de coco (optional)
Ais secukupnya

Cara penyediaan:

1. Campurkan air, gula dan air fanta, kacau sebati. Kemudian masukkan susu cair secukupnya.
2. Masukkan ke dalam gelas, tambahkan nata de coco dan ais. Sedia dihidangkan.
**Anggaran sukatan air yg saya gunakan 1 cawan air + 1.5 cawan air fanta hijau. Susu cair dimasukkan sedikit demi sedikit untuk menggelakkan susu berketul2.

Lemak Putih Umbut Kelapa

Umbut kelapa, kabung dan kelapa sawit memang selalu dijadikan juadah sayuran bila ada majlis kenduri kendara. Biasanya dibuat masak lemak putih atau pun kerabu. Memang membuka selera, tambahan bila dimakan bersama rendang ikan masin..Untuk memperolehi umbut kelapa memang agak sukar sedikit. Kadang2 ada juga dijual di pasar(bhg sayur2 kg) ataupun di pasar minggu.

Bahan-bahan:

1 kg umbut kelapa atau secukupnya ~ dipotong dan cuci bersih
1 biji bawang besar ~ dihiris
3 batang serai ~ diketuk
3 sudu besar kerisik
Santan secukupnya
Garam dan gula.

Cara penyediaan:

1. Masukkan umbut yang telah dibersihkan tadi ke dalam periuk. Tuang air sehingga melepasi paras umbut dan rebus sehingga umbut empuk.
2. Setelah umbut empuk, masukkan pula bawang yg dihiris, serai dan santan secukupnya. Masak sehingga santan mendidih, kuah hendaklah sentiasa dikacau untuk menggelakkan pecah minyak.
3. Masukkan kerisik, garam secukupnya dan sedikit gula. Gaul rata.
4. Setelah kuahnya sesedap rasa, bolehlah matikan api dan dihidangkan.

Inilah rupanya umbut kelapa yg belum dibersihkan dan potong.

Lemak Cili Api Kulat Sisir

Kalau balik kg, kami biasanya akan ke pasar atau ke pekan sehari Temerloh untuk mencari sayur2an kampung dan juga ulam2an. Kulat sisir adalah diantara kegemaran suami, dibuat masak lemak cili api atau pun digoreng. Untuk menyediakannya agak rumit sedikit kerana kena membuang satu persatu kotoran kulit kayu yg melekat pada pangkal kulat sisir tersebut.

Bahan-bahan:

1 mangkuk(pot) kulat sisir
1 biji bawang besar**
15 biji cili api**
Sejemput ikan bilis**
1/2 inci belacan**
**ditumbuk/dikisar
2 batang serai ~ diketuk
1 keping(kecil) asam keping/gelugur
1/2 sudu kecil sebuk kunyit
Santan secukupnya
Garam dan gula.

Cara penyediaan:

1. Bersihkan kulat sisir(buang sisa kulit kayu yg melekat pada pangkalnya). Basuh dan perahkan airnya, kemudian ditumbuk.
2. Masukkan semua bahan yang telah ditumbuk/kisar, kulat sisir, kunyit, serai, asam keping dan santan ke dalam periuk.
3. Gaul rata dan masak dengan menggunakkan api sederhana. Kacau/timbuk gulai sentiasa untuk menggelakkan pecah minyak.
4. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kuah bergantung pada citarasa, tapi sedap kalau kuahnya agak pekat.


Kulat sisir yang telah dibersihkan.

Masak Lemak Ikan Keli Salai

Tahun ni saya berpuasa dan berhari raya di M'sia. Di Abu Dhabi, kalau nak makan apa2 kenalah masak sendiri. Jadi dah balik ni, angin memasak tu ada masa2nya je..Ikan keli salai ni mmg teringin nak masak sendiri..dekat kawasan rumah saya ni ada kedai menjual ikan keli salai. Jadi senang beli je ikan keli salai, balik rumah masak je..

Bahan-bahan:

5 ekor atau secukupnya ikan keli salai
1 biji bawang besar**
2 ulas bawang putih(kalau tak suka tak payah letak)**
10 biji cili api (boleh tambah/kurangkan)**
1 biji cili besar**
**ditumbuk atau kisar
3 batang serai ~ diketuk
1/2 sudu atau secukupnya serbuk kunyit
Santan secukupnya
2 keping asam keping/gelugur
Garam dan gula.

Cara penyediaan:

1. Masukkan bahan yg telah ditumbuk/kisar ke dalam kuali atau periuk. Kemudian masukkan santan, serbuk kunyit, serai dan asam keping/gelugur.
2. Masakkan bahan tersebut sehingga mendidih. Kemudian masukkan ikan keli salai dan masaklah sehingga masak. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula.
**Kuah bergantung kepada cita rasa, kalau ingin berkuah lebihkan santan.


Ayam Goreng Berempah II

Resepi ayam goreng berempah sudah ada dalam blog ini..Tapi untuk resepi ayam goreng berempah kali ini, saya menambah serbuk kari dan daun kari. Jadi bila goreng bertambah harum dgn aroma daun kari..

Bahan-bahan:

1 ekor ayam ~ potong kecil, bersih dan toskan
5 ulas bawang putih**
2 biji bawang besar**
1 inci halia**
5 batang serai**
1 sudu besar ketumbar(sangai/goreng tanpa minyak)**
**ditumbuk atau dikisar kering
1 sudu besar serbuk kari ayam/daging
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
3 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
1 tangkai daun kari
Minyak untuk menggoreng.
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

1. Ayam yang telah dibersihkan digaul dengan bahan yang telah dikisar/ditumbuk dan daun kari, lalu diperap.
2. Kemudian goreng ayam hingga kekuningan atau garing.

Ayam yang telah siap didaul dgn bahan kisar dan daun kari..

Brokoli Goreng Bawang Putih II


Resepi sayuran yang amat mudah dan senang untuk disediakan..

Bahan-bahan:

200g brokoli
5 ulas bawang putih ~ potong dadu
1 sudu besar pes bawang(resepi~sila lihat dilabel homemade)
2 sudu besar sos tiram
Garam
Air
1 sudu besar minyak.

Cara penyediaan:

1. Potong brokoli dan bersihkan.
2. Panaskan air didalam periuk, bila air mendidih masukkan brokoli dan rebus selama 1 minit. Toskan airnya.
3. Panaskan minyak, tumiskan bawang putih dan goreng sehingga garing dan diangkat.
4. Dengan menggunakan minyak tadi, masukkan pes bawang, sos tiram dan sedikit air. Kacau rata(kuah bergantung kpd citarasa).
5. Masukkan brokoli dan perasakan dgn garam secukup rasa. Angkat, letakkan didalam mangkuk/piring dan taburkan bawang putih yg telah digoreng garing tadi.

Stew Daging Resepiraidah

Resepi stew daging yg disediakan mengikut cita rasa saya sendiri..

Bahan-bahan:

500gm daging lembu/kambing ~ bersihkan dan potong kiub
2 biji bawang besar ~ potong dadu
5 ulas bawang putih (jgn hiris/potong, sebiji2)
2 sudu pes bawang
1 batang lobak merah ~ potong dlm 1 inci
2 biji kentang ~ belah 4
2 helai daun bay
2 sudu tepung gandum
1 sudu kecil serbuk lada hitam
Garam dan gula
Sedikit daun bawang, sup dan bawang goreng ~ utk hiasan
Minyak untuk menumis
Air secukupnya.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak didalam periuk tekanan(pressure cooker) atau periuk yg sesuai. Gaulkan daging bersama serbuk lada hitam dan gorengkan daging lebih kurang 10-15 minit atau daging keperangan. Kemudian angkat daging.
2. Tumiskan bawang putih, merah dan daun bay. Kemudian masukkan pes bawang dan tepung gandum, kacau rata.
3. Masukkan semula daging dan air secukupnya, kacau rata. Tutup periuk dan masak selama 1 1/2 hingga 2 jam(kalau menggunakan periuk tekanan, masak selama 20 minit).
4. Kemudian tambahkan kentang dan lobak. Tutup dan masak lagi selama 20minit atau sehingga sayuran empuk/lembut.
5. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Hidangkan dengan ditaburkan dgn bawang goreng, daun sup dan daun bawang.
***Saya tidak menggunakan sebarang perasa(MSG/stok ayam) dlm masakan saya. Saya menggantikan dgn gula serta menggunakan bawang yg banyak dlm setiap masakan.


Daging sedang digoreng..

Daging yg siap digoreng..

Tumis bawang besar, bawang putih..masukkan tepung..

Masukkan air dan tutupkan periuk..

Tutup periuk dan masak sehingga daging betul2 empuk..

Sedia dihidangkan..

Patin Masak Tempoyak


Resepi masak tempoyak yg dipelajari dari arwah mak saya amat mudah dan ringkas. Tidak menggunakan bawang tapi hanya menggunakan cili api sahaja. Ikan patin memang terkenal di tempat saya, Temerloh..

Bahan-bahan:

1 ekor ikan patin(angaran 1kg)
20 biji cili api (kalau nak pedas boleh ditambah lagi)
1 helai daun kunyit
3 batang serai(diketuk)
1 inci kunyit hidup atau sedikit kunyit serbuk
3 sudu besar atau secukupnya tempoyak
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan:

1. Kisar cili api bersama kunyit hidup.
2. Masukkan air ke dalam periuk kemudian masukkan bahan kisar,serai dan tempoyak, biarkan sehingga mendidih.
3. Kemudian masukkan ikan patin, perasakan dgn garam dan gula secukup rasa.
4. Jika tidak masam, boleh ditambahkan lagi tempoyak.

Masak Lemak Ketam Lada Hitam

Bila memasak gulai/masak lemak, saya selalunya akan menggunakan yogurt. Maklumlah di sini yogurt mmg senang untuk diperolehi. Di dalam resepi lemak ketam ni, saya menggunakan yogurt dan juga santan..tidak meletakkan asam keping/gelugur, rasa masam hanya dari yogurt..

Bahan-bahan:

3 ekor ketam ~ bersihkan dan belah 2
1 biji bawang besar ~ saya kisar bersama 1/2 cawan yogurt
2 cawan santan (blh tambah kalau nk kuah lebih)
1 batang serai ~ dititik
1 sudu teh serbuk lada hitam serbuk
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa dan sedikit gula

Cara penyediaan:

1. Masukkan serai, lada hitam, serbuk kunyit, santan dan bawang yg telah dikisar dgn yogurt tadi ke dalam periuk.
2. Masak kuah tersebut selama 2 ke 3 minit. Kemudian masukkan ketam, pastikan kuah hendaklah sentiasa dikacau supaya ianya tidak pecah minyak.
3. Tambahkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Bila ketam sudah masak(ketam bertukar warna kemerahan), bolehlah diangkat.
** Jika menggunakan santan, tambahkan 1 ke 2 keping asam keping/gelugur. Boleh juga gantikan lada hitam kepada cili api.

Ayam Panggang ResepiRaidah

Ayam ni pada mulanya nak masak tandoori. Tapi disebabkan yogurt sudah habis, jadi saya panggang dgn menggunakan rempah ratus sahaja..

Bahan-bahan:

1 ekor ayam belah 4 ~ buang kulit, bersihkan dan dikelar-kelar
1 sudu kecil serbuk bawang putih(garlic powder)
1 sudu kecil serbuk halia(ginger powder)
1/2 sudu kecil serbuk jintan
1/2 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk cili(saya guna serbuk )paprika
Garam secukupnya dan sedikit gula(jika suka)

Cara penyediaan:

1. Satukan semua rempah dan gaul ratakan dgn ayam. Untuk rasa yg lebih sedap, seeloknya perapkan dahulu ayam sekurang2nya setengah jam. Kalau perapkan lebih lama rasanya lagi sedap.
2. Masukkan dalam dulang pembakar dan bakar ayam dgn suhu 250'C selama 1 jam. Balikkan ayam selepas setengah jam dan keluarkan jus/air yg keluar dari ayam untuk mendapatkan ayam yg garing.


Kurma Ayam ResepiRaidah

Resepi kurma ayam yg senang dan ringkas, pasti sesiapa saja boleh membuatnya..

Bahan-bahan:
1 ekor ayam ~ potong kecil
1 cawan santan pekat
3 cawan (atau secukupnya) santan cair
2 biji bawang besar **
5 ulas bawang putih**
1/2 inci halia**
**Saya tumbuk kasar
1 biji bawang besar ~ belah 4
2 biji kentang ~ belah 4
Rempah 4 sekawan ~ kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang&buah pelaga
1 bungkus kecil(dlm 24gm) rempah serbuk kurma ayam dan daging ~ bancuh dgn sedikit air utk dijadikan pes
Garam secukup rasa dan sedikit gula
Sedikit minyak(dlm 2/3 sudu besar).

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan. Kemudian masukkan pula bahan tumbuk dan goreng sehingga agak garing.
2. Masukkan pes kurma ayam & daging. Jika pes kelihatan agak kering, masukkan santan sedikit demi dan masak pes sehingga terbit minyak.
3. Masukkan ayam dan kacau rata, biarkan ayam seketika sehingga ayam kecut.
4. Kemudian masukkan pula santan, bawang besar dan kentang. Biar sehingga kentang empuk.(Masukkan santan secukupnya ikut kuih yg dikehendaki).
5. Masukkan pula santan pekat, garam secukup rasa dan sedikit gula.
6. Bila kuah mendidih, bolehlah matikan api.

Lepat Pisang Di Abu Dhabi

Sudah hampir setahun saya agak kurang rajin untuk membuat kuih muih..Sibuk melayan karenah siputeri yg sedang lasak dan 4 lagi abang2nya. Bila tiba angin rajin tu, barulah anak2 dan ayahnya merasa makan kuih ..Kebetulan daun pisang dlm peti sejuk masih elok dan pisang pun ada, jadi saya buatlah lepat.

Bahan-bahan:
2 cawan pisang yg telah dilenyek(pisang berangan atau yg sesuai utk buat lepat)
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan kelapa parut
4 sudu besar gula(boleh kurangkan atau lebih, bergantung pada citarasa)
3 sudu besar pati santan
Secubit garam
Daun pisang secukupnya(layurkan, saya layur atas api dapur)
.
Cara penyediaaan:
1. Daun pisang yg telah dilayur, sapu dgn kain bersih, potong segiempat sama dan ketepikan.
2. Pisang yg sudah dilenyek, dicampur dgn tepung, gula, kelapa parut, santan dan garam. Gaul rata.
3. Kalau adunana agak keras, tambahkan sedikit pati santan dan kalau lembut tambahkan tepung. Bagi saya adunannya mmg agak lembut sedikit. Kalau banyak tepung, nanti lepatnya keras dan kurang sedap.
4. Ambil 1 ke 2 sudu besar, letakkan atas daun pisang dan bungkus serta lipatkan kedua2 hujungnya. Susunkan ke dalam pengukus.
5. Panaskkan kukusan dan biarkan air mendidih. Kemudian baru kukuskan lepat selama 30 minit atau sehingga masak.

**Daun pisang agak sukar didapati di sini. Kalau beli daun pisang tu saya basuh, bungkuskan dgn surat khabar dan simpan didalam peti.

Gulai Tempoyak Ikan Kembung

Kalau balik kg saya di Temerloh, ikan yg digunakan sudah semestinya ikan 'patin'..Aduh rindunya nak menikmati keenakan ikan patin masak tempoyak..tapi nak buat macamana kan..tak dapat ikan patin, ikan kembung pun jadilah..tempoyak memang saya bawa dari m'sia..

Bahan-bahan:
2 ekor ikan kembung ~ bersihkan
15 biji lebih atau kurang cili api ~ tumbuk
1 batang serai ~ ketuk
2 sudu atau lebih tempoyak
1 tangkai daun kesum ~ jika suka
1 helai daun kunyit(saya tak letak sebab tak ada) ~ jika suka
Serbuk kunyit secukupnya(lebih sedap kalau guna kunyit hidup ~1cm)
Garam dan sedikit gula.
Air ~ ikut pekat kuah yg diingini

Cara penyediaan:

1. Masukkan cili api yg telah ditumbuk, tempoyak, serai, kunyit dan air ke dalam periuk. Kacau rata supaya tempoyak hancur dan tidak berketul. Masakkan bahan2 sehingga mendidih.
2. Kemudian masukkan ikan, daun kesum dan biarkan ikan sehingga masak. Tambahkan garam dan sedikit gula. Kalau kuah tidak masam, bolehlah ditambahkan tempoyak lagi(biasanya rasa masam ikan hanya dari tempoyak sahaja, saya tidak letak asam keping. Tapi kalau tidak suka kuah yg agak pekat, bolehlah ditambah asam keping utk menambah masam).
3. Bila ikan sudah masak, bolehlah diangkat.

Satu lagi cara memasak ikan:
~ Masukkan cili, serai, serbuk kunyit, tempoyak dan air ke dalam periuk, kacau rata hingga tempoyak hancur.
~ Kemudian masukkan ikan dan renihkan. Masukkan daun kunyit, daun kesum dan masak sehingga mendidih. Masukkan garam dan sedikit gula. Bolehlah diangkat.

Air Asam Dan Ikan Bakar ResepiRaidah

Tidak lengkap kalau makan ikan bakar tanpa air asam.. Penyediaannya amat mudah dan ringkas..

Bahan-bahan:

10 biji cili api**
1 inci belacan**
**tumbuk/kisar, jgn terlalu lumat
1 biji bawang besar ~ belah 2 dan dihiris
1 biji tomato ~ dipotong dadu
2-3 biji cili api ~ dihiris
Air asam jawa secukupnya
1 biji limau kasturi ~ belah 2
Sedikit garam dan gula secukup rasa.

Cara penyediaan:

1. Didalam mangkuk/bekas, satukan bahan yg telah ditumbuk/kisar, bawang besar, tomato, cili hiris dan air asam jawa(air asam jawa letak sedikit2).
2. Rasakan masam, masin dan manisnya. Bila telah cukup rasanya bolehlah diletakkan ke dalam mangkuk dan letaklah potongan limau kasturi utk menambah rasa masam jika perlu.


IKAN BAKAR

Di pasar ikan Abu Dhabi(fish market) ada bermacam2 jenis ikan. Ada ikan tu yg tak saya pernah jumpa kat pasar di m'sia. Ada ikan yg besar mmg besar betul..Ikan yg saya guna ni, org sini panggil ikan 'Farish' tak taulah kt m'sia ada jual ke tidak..pernah mkn ikan ni di kedai makan..Beli ikan ni dan saya bakar mengikut ramuan dan cita rasa sendiri..

Bahan-bahan:


1 ekor @ secukupnya ikan (boleh guna apa2 ikan yg sedap utk dibakar) ~ belah belakang
2 sudu besar pes bawang**
1 sudu besar pes cili** (kalau nak pedas blh tambah lagi)
1/2 inci halia ~ tumbuk halus**
Sedikit garam dan gula**
** Satukan semua bahan
Bahan utk garamkunyit ikan:
Sedikit garam
Kunyit serbuk secukupnya
1 sudu kecil serbuk halia (ginger powder)
1 sudu kecik serbuk bawang putih(garlic powder).

Cara penyediaan:

1. Campurkan garam, kunyit, serbuk halia dan bawang putih. Sapukan rata pada ikan, bahagian luar dan dalam.
2. Kemudian letakkan ramuan rempah yg telah disatukan tadi. Letakkan ikan dalam pemanggang dan bakarlah sehingga masak. Boleh juga dimasak dgn menggunakan oven. Sedap dimakan cicah dengan air asam.


Abg Hanif dgn ikan 'Farish'..


Ikan yang telah siap digaram kunyit dan diletakkan bahan rempah..


Sedia untuk dibakar..

Ayam Salai Masak Yoghurt Resepi Raidah

Kalau di Malaysia, santan merupakan bahan utama dlm masakan..Tapi di negara arab ni yoghurt menjadi satu kemestian..Di pasaraya2 yoghurt dijual dlm saiz kecil hinggalah saiz sebesar 4kg. Saya biasanya menggunakan yoghurt bagi menggantikan santan. Jumlah yoghurt yg digunakan, bergantung kepada rasa masam masakan yg dimasak..

Bahan-bahan untuk ayam salai:

1 ekor ayam ~ belah 2
1 sudu kecil serbuk halia(ginger powder)
1 sudu kecil serbuk bawang putih(garlic powder)
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1 sudu kecil serbuk kunyit
Garam secukup rasa.

Cara penyediaan:

1. Gaul rata semua bahan dengan ayam.
2. Letak ayam dalam dulang pembakar/bekas yg sesuai, balutkan ayam dgn aluminium foil dan bakar di dalam oven dgn suhu 250'C selama 1jam.
3. Selepas 45minit, buka foil dan keluarkan air ayam. Masak semula ayam selama 15minit atau ayam agak garing.
4. Bila ayam dah sejuk, bolehlah potong ayam mengikut sebesar mana saiz yg diingini.
**Air ayam yg dikeluarkan tadi akan dimasukkan ke dlm ayam yg nak dimsk gulai.

Bahan-bahan ayam salai masak yoghurt:

1 ekor ayam salai ~ potong ikut saiz yg diingini
1 ulas bawang putih**
1 biji bawang besar**
15 biji cili(atau lebih jika ingin pedas)**
**dikisar/tumbuk(saya biasa kisar yoghurt bersama bawang dan cili)
1 biji tomato ~ belah 4
2 cawan @ secukupnya yogurt
2 batang serai ~ titik
Sedikit kunyit serbuk
Jus/air dari ayam yg telah dipanggang
Garam dan gula secukup rasa.

Cara penyediaan:

1. Masukkan ayam, bahan yg telah dikisar/tumbuk, serbuk kunyit, serai dan air/jus ayam ke dalam periuk.
2. Masak dan kacau kuah sehingga mendidih. Gunakan api perlahan.
3. Masukkan tomato, tambahkan garam dan gula secukup rasa. Bolehlah diangkat.

Pes Cili Dan Pes Bawang (Homemade)

Semenjak ada anak kecil ni, saya memang sentiasa menyediakan pes cili dan pes bawang. Tujuannya adalah utk memudahkan kerja memasak. Tak perlu lagi nak menunggu lama utk menumis cili ataupun bawang. Maka bolehlah saya menumpukan lebih perhatian kepada sikecil dan juga abg2nya...

Bahan-bahan:

100 gm cili kering (bergantung kpd kepedasan cili yg diperlukan) ~ potong kecil dan direbus, basuh dan toskan
1 kg bawang besar ~ belah 2 dan dihiris
300 bawang putih ~ belah 2
Sedikit garam dan gula
1/2 liter atau secukupnya minyak.

Cara saya menyediakan:

1. Panaskan minyak, goreng bawnag putih sehingga wangi.
2. Kemudian masukkan bawang merah dan goreng sehingga bawang agak layu.
3. Masukkan pula cili yang telah direbus tadi dan goreng sehingga cili tersebut masak dan airnya kering. Angkat dan biarkan sejuk seketika.
4. Kemudian kisar semua bahan yg telah digoreng tadi bersama minyak gorengan.
5. Kemudian goreng semula bahan yg telah dikisar dgn menggunakan api perlahan sehingga terbit minyak. Tambahkan sedikit garam dan juga gula. Sedia untuk digunakan.


Bawang putih, bawang merah dan cili yg dipotong sedang digoreng..


Bahan yang telah dikisar dan digoreng semula..



Pes cili yg sedia untuk digunakan..



PES BAWANG

Bahan-bahan:

1 kg bawang besar ~ belah 2 dan hiris
300 gm bawang putih ~ belah dua
1/2 liter minyak atau secukupnya

Cara saya menyediakan:

1. Panaskan minyak, tumiskan bawang putih sehingga kekuningan dan angkat.
2. Kemudian tumiskan pula bawang besar sehingga bawang masak tak perlu sehingga garing. Angkat.
3. Kisar bawang putih dan merah sehingga hancur. Guna pengisar kering atau boleh juga masukkan dlm pengisar dan kisar bersama minyak gorengan tadi.
4. Masak semula bawang tersebut sehingga bawang betul2 masak.

Lamb Curry ~ Kari Daging Biri-biri

Resepi kari daging biri2 ini saya tidak menggunakan santan ataupun yogurt. Menggunakan banyak bawang dan juga tomato. Penyediaan untuk masak juga adalah cepat kerana saya telah menyediakan pes bawang dan juga pes cili (resepi pes bawang/cili akan saya masukkan kemudian).

Bahan-bahan:

500g daging biri2 campur tulang
2 biji kentang ~ belah 4
Rempah tumis ~ 1 batang kulit kayu manis,3 kuntum bunga cengkih,2 biji buah palaga,1 kuntum bunga lawang
3 ulas bawang putih ~ diketuk dan cincang
2 biji bawang besar ~ didadu
3 biji tomato ~ cincang
2 sudu besar rempah kari daging ~ bancuh dengan sedikit air untuk jadikan pes
1 sudu besar pes cili
1 sudu besar pes bawang
1 tangkai daun kari
1/2 inci halia ~ hiris
Asam keping/jawa ~ Jika perlu (saya tak letak)
Garam dan gula
Air
Minyak

Cara saya menyediaan:

1. Bersihkan daging biri2 dan toskan.
2. Panaskan air (dalam 2-3 cawan) didalam periuk tekanan (pressure cooker) atau periuk biasa.
3. Apabila air sudah mendidih, masukkan daging dan kacau rata. Tutup periuk tekanan dan biarkan selama 15 minit.
4. Setelah 15 minit, tutupkan api dan biarkan sehingga tekanan hilang didalam periuk. Kalau ingin cepat, lalukan periuk di aliran air paip sehingga tekanan hilang dan periuk boleh di buka.
5. Panaskan dalam 2 sudu minyak dan masukkan rempah tumis, bawang putih, halia dan tumis sehingga wangi.
6. Masukkan bawang besar, tomato, pes bawang, pes cili, pes kari serta daun kari dan masak sehingga terbit minyak.
7. Masukkan kentang dan air rebusan daging. Biarkan kentang empuk.
8. Masukkan pula daging biri2 serta lebihan airnya mengikut sebanyak mana kuah yang diingini, biarkan mendidih.
9. Tambahkan garam secukup rasa dan gula. Kalau ingin lebih masam, tambahkan asam keping atau air asam jawa secukup rasa dan bolehlah diangkat.
Related Posts with Thumbnails

Resepi Raidah © 2013. Blog Dikendalikan Oleh SyurgaDiDunia.