Kari Ayam Resepiraidah

Bahan-bahan:

1 ekor ayam ~ potong kecil, basuh dgn asam garam @ dgn tepung gandum dan toskan
2 biji ubi kentang ~ belah 4
2 biji lobak merah ~ potong panjang dan dibelah 2
3 biji cili besar hijau @ merah ~ biar sebiji2
30 g rempah kari ayam/daging ~ bancuh dgn air utk jadikan pes
2 sudu besar cili kisar( jika ingin tambah pedas tapi saya tidak tambah cili)
1 biji bawang besar**
3 ulas bawang putih**
1/2 inci halia**
**ditumbuk/kisar halus
Santan kelapa secukupnya
2 keping asam keping/gelugur ataupun asam jawa secukupnya(ikut citarasa)
Garam dan gula
Air
Minyak untuk menumis.
Bahan tumis:
Rempah 4 sekawan ~ 1 btg kulit kayu manis, 5 kuntum bunga cengkih, 3 biji buah pelaga & 2 kuntum bunga lawang
1 biji bawang besar ~ belah 2 & hiris halus
3 biji bawang putih ~ belah 2 & hiris halus
1/2 inci halia ~ hiris halus mcm batang mancis
1 tangkai daun kari.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumiskan rempah 4 sekawan serta bahan tumis lain sehingga garing. Angkatkan semua bahan tumis tersebut dan ketepikan dahulu.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumiskan pula bahan tumbuk/kisar sehingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar dan pes kari. Masak sehingga betul-betul masak atau sehingga terbit minyak. Tambah air jika perlu supaya rempah kari tidak hangit/hangus.
4. Masukkan pula ayam dan ubi kentang, gaul rata dan biarkan selama 10 minit atau sehingga ayam kecut.
5. Kemudian masukkan santan(sebyk mana kuih yg diinginkan), lobak, cili besar, asam keping/asam jawa, garam dan gula secukup rasa dan masak sehingga ayam lembut.
6. Apabila ayam sudah masak, masukkan bahan tumis yang telah siap digoreng tadi dan gaul rata. Biarkan 2 ke 3 minit dan matikan api dan bolehlah dihidangkan.

Kuih Kole Kacang

Sepertimana kuih tepung gomak, kuih kole kacang ini bagi saya agak rumit juga untuk membuatnya. Terpaksa membuat tepung kacang hijau terlebih dahulu kerana di Abu Dhabi ini tidak pernah terjumpa oleh saya, pasaraya yang menjual tepung kacang hijau ini. Terlebih kuning(masak) ketika menggoreng kacang hijau menyebebkan tepungnya menjadi coklat dan hasil kuihnya menjadi sedikit gelap. Saya mencuba resepi dari my resepi..

Bahan-bahan:

1 cawan pati santan/santan pekat ~ untuk membuat tahi minyak
1 cawan tepung kacang hijau
1 cawan gula merah
2 sudu atau lebih gula pasir
1 cawan air
2 cawan santan
2 helai daun pandan
Sedikit garam.

Cara penyediaan:

Untuk tahi minyak:

1. Dengan menggunakan api yang sederhana, masak pati/santan pekat sehingga menjadi tahi minyak.
2. Apabila siap, ambil tahi minyak yang terhasil dan biarkan lebihan minyak yang ada didalam kuali tersebut.(kuali ini nanti akan digunakan utk memasak kuih)

Kuih kole kacang:

1. Masak gula merah, gula pasir dan daun pandan bersama air sehingga larut. Tapis dan sejukkan.
2. Masukkan tepung kacang hijau, santan, air gula merah dan garam ke dalam bekas yang sesuai dan kacau sebati.
3. Masukkan adunan ke dalam kuali yang berisi lebihan minyak tadi. Masakkan adunan dengan menggunakan api yang sederhana. Hendaklah dikacau selalu supaya adunan/kuih tidak bergentel.
4. Masak kuih sehingga pekat. Apabila sudah masak, masukkan ke dalam bekas atau loyang.
5. Bila kuih telah sejuk, taburkan tahi minyak dan barulah dipotong.

Pulut Durian / Pulut & Serawa Durian

Dapatlah makan sesekali pulut durian..buat dengan menggunakan lempuk durian yang dibawa dari malaysia..Stok lempuk dah pun habis, harap2 balik bercuti minggu depan boleh bawak stok baru, itu pun kalau ada buah durian yang dijual..kalau tak ada boleh beli lempuk durian segera yang banyak jual di pasaraya..

Bahan-bahan:

Beras pulut(secukupnya) ~ rendam 3 jam atau lebih
Isi durian atau lempuk durian secukupnya
2 cawan santan pekat
1 cawan air
1 helai daun pandan
Gula dan garam.

Cara penyediaan:

1. Toskan beras pulut yang telah direndam dan kemudian kukus sehingga masak (Pulut ini saya kukus kosong tanpa letak santan dan garam).
2. Untuk kuah/santan :~ Masak santan bersama air, daun pandan, gula dan sedikit garam.
3. Kacau diatas api yang perlahan sehingga mendidih.
4. Masukkan isi durian/lempuk, kacau rata. Kalau manisnya sudah menepati citarasa, bolehlah diangkat (boleh juga kalau nak letak isi durian kemudian, masak kuah sahaja. Tapi saya suka masakkan sekali durian dgn kuahnya).
** Kalau suka boleh juga campurkan dengan gula merah/gula melaka.

Asam Laksa Nyonya Resepiraidah

Pertama kali makan laksa nyonya ni dekat rumah kawan(Kak Milah) di Dubai. Tak pernah makan sebelum ini, rasa sedap pulak. Saya pun mencari resepinya dalam internet dan cuba membuatnya pula. Resepi saya ini telah ditambah sedikit bahan2nya dari resepi asal..

Bahan-bahan:

1 bungkus laksa ~ rendam sampai lembut, rebus dan toskan
2 tin besar sardin ~ Hancur2kan dgn garfu (saya ambil ikannya sahaja, kuah buang)
3 ulas bawang putih**
1 biji bawang besar**
1 inci halia**
Sedikit belacan (dlm 1inci)**
** ditumbuk/kisar halus
3 sudu besar cili kisar (boleh tambah atau kurangkan)
1 kuntum bunga kantan ~ dibelah 4
3 ke 4 tangkai daun kesum
Asam jawa secukupnya
Garam dan gula
Minyak
Air.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar/tumbuk sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga pecah minyak/terbit minyak.
2. Masukkan bunga kantan serta daun kesum dan gorengkan lagi untuk beberapa minit.
3. Masukkan sardin dan air. Masakkan sehingga mendidih.
4. Apabila mendidih, masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
5. Bila rasanya sudah menepati citarasa, bolehlah diangkat dan hidangkan bersama dengan ulam2an seperti daun pudina(bahan ulam yg penting untuk menyedapkan laksa), hirisan timun, salad, cili api, bawang, limau dan telur dadar.

Yang ini percubaan kali pertama buat laksa nyonya.

Kuih Tepung Gomak

Sudah lama juga teringin nak makan kuih tepung gomak ni tapi selalu bertangguh aje. Bukannya apa untuk menyediakan abuk2nya(tepung kacang hijau) tu agak merumitkan sedikit. Di sini tidak ada jual tepung kacang hijau, jadi saya kenalah membuatnya sendiri. Oleh kerana hendak juga makan, maka terpaksalah merajinkan diri untuk membuatnya dan hasilnya, jadilah kuih tepung gomak di Abu Dhabi..

Bahan untuk menyalut kuih(abuk2):

500g kacang hijau

Cara penyediaan:

1. Basuh dan toskan kacang hijau.
2. Goreng kacang hijau sehingga kekuningan dan diangkat.
3. Kisar kacang tadi dengan menggunakan pengisar kering. Kisar sekejap sahaja untuk membuang kulitnya dahulu. Tampi untuk membuang kulit kacang yang tertanggal.
4. Kemudian barulah kisar kacang tersebut sehingga hancur dan menjadi tepung. Ayak kacang supaya mendapat tepung yang halus. Lakukan mengisar kacang sehingga semuanya habis.
5. Simpan didalam bekas sebelum digunakan untuk menyalut kuih.

Bahan inti:

1 biji kelapa parut
200g (2ketul) gula melaka atau gula merah
1/2 cawan gula pasir @ secukup rasa
1 sudu besar tepung gandum
Secubit garam
1 helai daun pandan
Air.

Cara penyediaan:

1. Masak gula melaka, gula pasir, sedikit garam dan daun pandan bersama air sehingga gula hancur. Angkat dan tapiskan.
2. Masukkan kelapa,tepung gandum ke dalam air gula tadi. Kacau sehingga inti masak dan sebati. Angkat dan sejukkan terlebih dahulu.
3. Untuk memudahkan kerja, bulat2kan inti terlebih dahulu dan ketepikan.

Bahan kuih tepung gomak:

500g tepung pulut
Sedikit garam
Air secukupnya

Cara penyediaan:

1. Bancuh/gaulkan tepung pulut dengan air yang telah dicampur sedikit garam(sesedap rasa) sedikit demi sedikit sehingga adunan sebati/kental . Buat sama macam bancuhan kuih buah melaka.
2. Ambil sedikit adunan, bulatkan dan leperkan. Masukkan inti dan bulatkan serta leperkan semula.
3. Masakkan air, setelah mendidih masukkan kuih dan masak sehingga kuih timbul(naik ke atas) barulah diangkat.
5. Kemudian gaulkan dengan tepung kacang hijau sehingga menyaluti kuih dan bolehlah dihidangkan.

Related Posts with Thumbnails

Resepi Raidah © 2013. Blog Dikendalikan Oleh SyurgaDiDunia.