Ketupat Sotong/ Sotong Sumbat ~ Pedas

Pertama kali cuba membuat ketupat sotong..Buat 2 jenis, pedas dan yang tidak pedas untuk anak-anak. Untuk resepi ini saya sertakan resepi ketupat sotong versi pedas..

Bahan-bahan:

6 ekor sotong ~ buang selaput/kulit luar, bersih dan ditoskan
1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
2 sudu cili kisar
2 ulas bawang kecil**
2 batang serai**
1/2 inci lengkuas**
2 biji buah keras**
**Dikisar/tumbuk halus
2 cawan santan pekat
Garam dan gula secukupnya
Lidi
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:

1. Masak/kukus beras pulut dengan santan cair sehingga separuh masak. Setelah agak sejuk sumbatkan ke dalam sotong. Jangan terlalu penuh/padat, lebih kurang 3/4 badan sotong.
2. Kemudian masukkan kepala sotong dalam sotong tersebut dan sematkan/tutup dengan lidi.
3. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar/tumbuk sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan masak sehingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan sotong. Masukkan juga garam dan gula secukupnya.
5. Masak dengan api sederhana sehingga sotong masak dan kuah agak pekat.

Sambal Peria Katak

Disebalik kepahitannya..Peria katak mempunyai banyak berkhasiat untuk tubuh badan..Saya pun pada mulanya tidak berapa suka tapi bila sudah selalu makan, menjadi sedap pula..Boleh dibuat ulam, masak lemak dan bermacam2 lagi. Untuk resepi ini saya membuat sambal..

Bahan-bahan:

2 biji peria ~ belah 2 buang biji dan dihiris. Untuk membuangkan pahitnya, rendam seketika peria dgn air garam.
1/2 biji bawang besar**
2 biji bawang putih**
5 biji cili kering**
1 sudu besar udang kering**
**Semua bahan dikisar/tumbuk halus
1/2 biji bawang besar ~ dihiris
1 biji bawang putih ~ dihiris
Sejemput ikan bilis
1/2 keping asam keping
Garam dan gula secukupnya
Air
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:

1. Panas minyak dan goreng bawang besar, putih dan ikan bilis sehingga garing. Kemudian diangkat dan ketepikan.
2. Tumiskan pula bahan yg telah dikisar sehingga masak/pecah minyak.
3. Masukkan peria, asam keping dan air. Kacau rata dan biar sehingga masak. Kuah bergantung pada citarasa.
4. Perasakan masam, masim dan manisnya. Bila sudah secukup rasa dan peria masak, masukkan bawang besar, putih dan ikan bilis yg telah digoreng tadi. Gaul rata dan bolehlah diangkat.

Daging Masak Sos Tiram

Lauk yang amat senang untuk disediakan..

Bahan-bahan:

300g daging
3 biji bawang putih ~ diketuk dan dicincang halus
1 biji bawang besar ~ belah 2 dan dihiris
1/2 inci halia ~ dihiris nipis
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1/2 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu besar tepung jagung ~ dibancuh dgn air utk memekatkan kuah
1 tangkai daun bawang
Air
Garam sekiranya perlu
Minyak.

Cara penyediaan:

1. Daging dibasuh bersih dan barulah dipotong. Ini bertujuan untuk mengurangkan air semasa menggoreng daging.
2. Panaskan minyak dan goreng daging dgn menggunakan api besar selama 3 ke 5 minit. Angkat daging.
3. Dengan menggunakan minyak yg sama dlm anggaran 2/3 sudu, tumiskan bawang putih dan halia sehingga sedikit garing.
4. Masukkan bawang besar, daging, sos tiram, serbuk lada putih dan kicap. gaul rata.
5. Masukkan air sebanyak mana kuah yg dikehendaki dan biarkan mendidih. Kemudian masukkan bancuhan tepung jagung kacau seketika dan bolehlah diangkat.
6. Taburkan daun bawang sebelum dihidang.

APA NI..

Beginilah caranya saya membawa durian ataupun tempoyak ke Abu Dhabi..Balik bercuti baru-baru ni, kami sekeluarga sempat untuk menikmati buah durian dengan sepuasnya..Tak cukup dengan makan, saya asingkan isi durian dan masukkan ke dalam bekas aiskrim lalu dibekukan. Setelah betul-betul beku, sehari sebelum balik ke Abu Dhabi barulah saya bungkus bekas aiskrim. Balut terlebih dahulu bekas aiskrim tersebut dengan masking tape, kemudian balutkan pula dengan beberapa helai plastik. Kemudian barulah dibalutkan dengan beberapa lapisan aluminum foil pula. Sebelum masuk ke dalam beg, balutkan sekali lagi dengan kain. Ini untuk memastikan/menjamin supaya bau durian tidak keluar semasa di kaunter check in...

Inilah isi durian yang telah dibekukan..

Telur Dadar BerCheese

Telur..sudah semestinya menjadi kegemaran anak-anak. Telur dadar yg dibuat ini diletakkan cheese dan dijadikan juadah sarapan pagi untuk anak-anak sebelum pergi ke sekolah..Resepinya amat mudah untuk disediakan..

Bahan-bahan:

6 biji telur
1 biji bawang besar ~ belah 2 dan hiris nipis
10 biji bebola ikan(fish ball) ~ hiris nipis (boleh juga menggunakan bahan lain seperti dada ayam, daging ataupun sosej)
Keju secukupnya ~ cheddar ataupun mozzarella
Garam
Minyak.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak, goreng bawang yg telah dihiris sehingga garing dan diangkat.
2. Kemudian gorengkan pula bebola ikan(fish ball) sehingga masak dan diangkat.
3. Didalam 1 bekas, pecahkan telur dan masukkan bawang, fish ball dan garam secukup rasa. Pukul telur bersama bahan-bahan sehingga sebati.
3. Panaskan minyak didalam kuali, apabila minyak sudah panas masukkan telur dan biar sehingga separuh masak.
4. Taburkan keju/cheese cheddar/mozzarella secukupnya diatas telur tersebut.
5. Masukkan telur ke dalam oven dan masak sehingga telur masak dan keju cair. Dengan suhu 200'C selama 5 ke 10 minit. Ataupun tutup kuali dengan menggunakan penutup yang sesuai dan biarkan telur masak atau sehingga keju cair
6. Sedap dimakan bersama cili sos.
** Boleh mempelbagaikan bahan dengan menambah seperti daun sup, daun bawang dan juga cili besar.

Telur yang telah siap untuk digoreng..

Telur telah separuh masak dan ditaburkan dengan cheese..

Dimasukkan ke dalam oven untuk masakkan bahagian atas dan mencairkan cheese..

Sudah masak dan sedia untuk dihidangkan..
Related Posts with Thumbnails

Resepi Raidah © 2013. Blog Dikendalikan Oleh SyurgaDiDunia.