Bubur Jagung Bersagu

Selamat berpuasa buat semua pengunjung blog resepiraidah..Agak terlalu lewat untuk mengucapkannya..Sebenarnya saya sekarang masih didalam pantang selepas melahirkan cahayamata yang ke 6 pada 25 Julai yang lalu..Walaupun masih didalam pantang, kuih muih, bubur saya buatkan juga untuk anak2 dan ayahnya..Kesian pulak kat sini mana ada pasar/bazar ramadhan untuk membeli juadah berbuka..Bubur jagung bersagu ini adalah resepi yang amat senang untuk disediakan..


Bahan-bahan:

3 cawan jagung (saya guna jagung beku yang jual dipasaraya)
3 sudu besar sagu ~ saya rebus dahulu sagu sehingga jernih, basuh dan rendamkan didalam air sebelum dimasukkan ke dalam bubur
250ml santan
Air secukupnya
1/2 cawan gula merah
Gula pasir secukupnya
2 helai daun pandan ~ dikoyak dan disimpulkan
Sedikit garam.


Cara penyediaan:

1. Masukkan semua bahan kecuali sagu ke dalam periuk. Masak hingga mendidih dengan api yang sederhana supaya santan tidak pecah minyak.
2. Masukkan sagu yang telah direbus, rasakan manis lemak secukupnya. Bolehlah tutup api dan sedia dihidangkan.

***Saya suka rebus dan basuh dahulu sagu sebelum dimasukkan ke dalam bubur yang dimasak supaya kuah bubur tidak menjadi terlalu pekat dan proses memasak bubur pun mengambil masa yang singkat.

Ketupat Sotong ~ Versi Tidak Pedas

Ketupat sotong yang tidak pedas ini buat untuk anak-anak yang tidak makan pedas..Bolehlah cuba untuk juadah berbuka puasa..


Bahan-bahan:

1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
6 ekor sotong ~ buang selaput/kulit luar, bersih dan toskan
2 cawan santan pekat
3 biji bawang merah ~ dihiris
1/2 inci halia ~ dihiris
1 sudu kecil halba
Garam dan gula secukupnya
Lidi (saya guna lidi satay)

Cara penyediaan:

1. Masak/kukus beras pulut dengan santan cair sehingga separuh masak. Setelah agak sejuk, sumbatkan ke dalam sotong. Jangan terlalu penuh/padat, lebih kurang 3/4 badan sotong.
2. Kemudian masukkan kepala sotong dalam badan sotong tersebut dan sematkan/tutup dengan lidi supaya pulut tidak terkeluar.
3. Masak sotong tersebut dengan 2 cawan santan pekat dengan menggunakan api yang sederhana.
4. Apabila kuah mendidih, masukkan bawang, halia, halba, garam dan gula secukupnya.
5. Masak sehingga kuah agak pekat atau bergantung pada citarasa.


Ikan Masak Taucu

Ikan masak taucu, resepi yang mudah untuk disediakan...

Bahan-bahan:

2 keping ikan tenggiri (ikan lain pun boleh guna seperti kembung, bawal dll)
2 sudu besar atau secukupnya taucu
Air asam jawa secukupnya
1 batang karot ~ potong kecil
1 batang timun ~ potong kecil
1/2 biji lada benggala ~ potong kecil
Serbuk kunyit
Garam dan gula
Air
Minyak.

Bahan hiris/mayam:

3 ulas bawang putih
2 biji bawang besar(boleh kurangkan)
1/2 inci halia
5 biji atau lebih cili api.

Cara penyediaan:

1. Bersihkan ikan, gaul dengan garam dan kunyit. Goreng sehingga garing dan ketepikan.
2. Panaskan minyak, tumis bawang putih, merah, halia dan cili api sehingga wangi.
3. Masukkan taucu, air asam jawa dan gula(jika tidak masin bolehlah tambah garam/taucu). Biarkan mendidih dan rasakan masin, masam dan manis secukupnya. Kuah bergantung pada citarasa.
4. Masukkan carrot, lada benggala dan timun, kacau rata.
5. Biarkan pekat sikit dan boleh tuangkan atas ikan tadi.

Ketupat Sotong/ Sotong Sumbat ~ Pedas

Pertama kali cuba membuat ketupat sotong..Buat 2 jenis, pedas dan yang tidak pedas untuk anak-anak. Untuk resepi ini saya sertakan resepi ketupat sotong versi pedas..

Bahan-bahan:

6 ekor sotong ~ buang selaput/kulit luar, bersih dan ditoskan
1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
2 sudu cili kisar
2 ulas bawang kecil**
2 batang serai**
1/2 inci lengkuas**
2 biji buah keras**
**Dikisar/tumbuk halus
2 cawan santan pekat
Garam dan gula secukupnya
Lidi
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:

1. Masak/kukus beras pulut dengan santan cair sehingga separuh masak. Setelah agak sejuk sumbatkan ke dalam sotong. Jangan terlalu penuh/padat, lebih kurang 3/4 badan sotong.
2. Kemudian masukkan kepala sotong dalam sotong tersebut dan sematkan/tutup dengan lidi.
3. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar/tumbuk sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan masak sehingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan sotong. Masukkan juga garam dan gula secukupnya.
5. Masak dengan api sederhana sehingga sotong masak dan kuah agak pekat.

Sambal Peria Katak

Disebalik kepahitannya..Peria katak mempunyai banyak berkhasiat untuk tubuh badan..Saya pun pada mulanya tidak berapa suka tapi bila sudah selalu makan, menjadi sedap pula..Boleh dibuat ulam, masak lemak dan bermacam2 lagi. Untuk resepi ini saya membuat sambal..

Bahan-bahan:

2 biji peria ~ belah 2 buang biji dan dihiris. Untuk membuangkan pahitnya, rendam seketika peria dgn air garam.
1/2 biji bawang besar**
2 biji bawang putih**
5 biji cili kering**
1 sudu besar udang kering**
**Semua bahan dikisar/tumbuk halus
1/2 biji bawang besar ~ dihiris
1 biji bawang putih ~ dihiris
Sejemput ikan bilis
1/2 keping asam keping
Garam dan gula secukupnya
Air
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:

1. Panas minyak dan goreng bawang besar, putih dan ikan bilis sehingga garing. Kemudian diangkat dan ketepikan.
2. Tumiskan pula bahan yg telah dikisar sehingga masak/pecah minyak.
3. Masukkan peria, asam keping dan air. Kacau rata dan biar sehingga masak. Kuah bergantung pada citarasa.
4. Perasakan masam, masim dan manisnya. Bila sudah secukup rasa dan peria masak, masukkan bawang besar, putih dan ikan bilis yg telah digoreng tadi. Gaul rata dan bolehlah diangkat.
Related Posts with Thumbnails

Resepi Raidah © 2013. Blog Dikendalikan Oleh SyurgaDiDunia.