Memaparkan catatan dengan label Nasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nasi. Papar semua catatan

Mujaddara Arabic Lentil Rice

Assalamualaikum..Bersua kembali setelah sekian lama tidak mengemaskini blog resepiraidah ini..Mujaddara membuka tirai, makanan tradisional vegetarian di Timur Tengah. Menggunakan bahan yang sedikit dan senang untuk disediakan.

Bahan-bahan:

2 cawan kacang dal ~ direndam setengah jam
1 cawan beras(saya guna basmati) ~ direndam setengah jam
4 biji bawang besar ~ hiris nipis untuk dijadikan bawang goreng
5 cawan air
1 sudu besar minyak zaitun
1 sudu besar serbuk jintan putih
Garam
Minyak

Cara penyediaan:

1. Masukkan dal dan air ke dalam periuk, masak sehingga mendidih atas api sederhana
2. Kecilkan api. Tutup periuk dan biarkan reneh selama 20-25 minit atau sehingga dal lembut.
3. Masukkan beras, garam, serbuk jintan putih dan minyak zaitun ke dalam periuk dan kacau rata. Kalau air agak kering, tambahkan 1/2 air jika perlu. Tutup dan biarkan sehingga dal dan beras masak selama lebihkurang 30 minit.
4. Untuk membuat bawang goreng, panaskan minyak dan goreng bawang yang telah dihiris tadi sehingga garing. Angkat dan toskan. 
5. Apabila dal dan nasi telah dimasak, ambil separuh bawang yang telah digoreng tadi dan campurkan ke dalam periuk, gaul rata. 
6. Hidangkan ke dalam pinggan dan taburkan bawang goreng diatas nasi dal tersebut.
 

Ini kacang dal yang saya gunakan.
** Saya menggunakan cawan dan sudu sukatan matrik

Nasi Lemak Abu Dhabi

Nasi lemak, ayam goreng berempah, sambal tumis, ulam timun dan ditambah dengan kangkung celur..Hidangkan nasi panas2 letak atas daun pisang, baru sedap mcm mkn kt Malaysia jugak..

Nasi

4 pot beras basmathi ~ basuh dan saya rendamkan 30minit
4 pot @ lebih (bergantung kepada beras) santan (saya guna santan serbuk)
1/2 inci halia ~ dihiris
4 kuntum bunga cengkih
2 helai daun pandan
Garam dan sedikit gula.
** saya guna santan serbuk, jadi saya masak dahulu santan bersama halia, bunga cengkih dan daun pandan sehingga mendidih.

Cara penyediaan :

1. Masukkan beras ke dalam rice cooker. Kemudian masukkan santan yang telah dimasak dengan bahan. Masukkan garam secukupnya dan sedikit gula.
2. Tanak nasi sehingga masak. Bolehlah dihidangkan dengan lauk atau sambal kegemaran.

Sambal Tumis Ikan Bilis:

Saya suka buat sambal menggunakkan banyak bawang dan sambal tumis ni mengikut cara yang biasa saya masak.
150 g ikan bilis
2 biji bawang besar ~ dihiris
2 biji bawang besar**
5 ulas bawang putih**
20 tangkai lebih atau kurang cili kering ~ rebus, basuh dan toskan airnya**
Sedikit belacan (secukupnya)**
Air asam jawa secukupnya
Garam dan gula
Air secukupnya untuk kuah
Minyak untuk menumis.
** Goreng bahan ** sehingga masak dan kemudian kisar sehingga hancur, jadikan pes.

Cara penyediaan:

1. Goreng ikan bilis sehingga garing, angkat dan toskan minyak.
2. Masak semula pes bawang yang telah dibuat tadi sehingga naik/terbit minyak.
3. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
4. Masukkan hirisan bawang besar dan air untuk kuah secukupnya.
5. Apabila bawang telah masak, matikan api dan masukkan ikan bilis goreng tadi. Gaul rata ikan bilis dan bolehlah diangkat.

Nasi Goreng ResepiRaidah



Bahan-Bahan:

2 mangkuk nasi
100g daging ~ dihiris
5 biji bawang putih ~ diketuk dan cincang halus
3 biji cili api (boleh ditambah jika mahu pedas) ~ dihiris
2 pokok/batang pak choi/sawi cina ~ potong ikut suka (saya potong bawah saja)
2 sudu sos tiram
1 sudu kicap cair
1 sudu sos ikan (nampla)
Garam ~ jika perlu
Minyak untuk menumis

Cara Penyediaan:

1. Panaskan minyak (anggaran 2-3 sudu) dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga garing (kuning keemasan).
2.Masukkan daging dan goreng hingga masak.
3.Kemudian masukkan cili padi dan goreng sebentar.
4.Masukkan pak choi, kacau sebentar saja. Kemudian, terus masukkan sos tiram, kicap cair, sos nampla dan juga nasi. Gaul rata.
5.Rasakan kalau kurang masin, bolehlah tambah kicap cair atau garam. Sedia dihidangkan.

Vermicelli Rice

Rancangan tv yang saya tonton di sini hanyalah rancangan masakan arab "Fatafeat" yang menyiarkan masakan arab dan juga english. Pergi ke kedai buku baru ni terjumpa majalah fatafeat ini dalam bahasa inggeris. Begitu berminat untuk mempelajari masakan arab, saya pun membelinya. Inilah resepi pertama yg telah saya cuba..

Bahan-bahan:

1 cawan vermicelli
2 cawan beras ( saya guna basmathi) ~ basuh dan toskan
4 cawan atau secukupnya air
1 sudu kecil atau secukupnya garam
5 sudu besar minyak

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan goreng vermicelli sehingga kuning keemasan.
2. Masukkan vermicelli yang telah digoreng ke dalam periuk(rice cooker). Kemudian masukkan beras, garam dan air. Kacau rata.
3. Masak/tanak nasi seperti memasak nasi biasa.

**Kami sekeluarga makan nasi ini bersama kari kambing. Tunggu resepi kari kambing di post akan datang..


Vermicelli yang digoreng..
Vermicelli dan beras yang sedia untuk dimasak.


Vermicelli yang saya gunakan.


Majalah yang saya 'refer' untuk resepi.

Nasi Kerabu Di Abu Dhabi

Sejak duduk di Abu Dhabi ni sudah 2 kali saya membuat nasi kerabu. Pertama kali buat lupa nak goreng kerepuk dan buat sambal belacan. Kali yg ke dua ni pulak masih lupa lagi sambal belacan tapi rasanya ada kuah lemak dan serunding kelapa ikan tu pun sudah mencukupi..Satu lagi budu, tapi budu tu mmg tak bwklah ke sini.

Bahan untuk nasi:

4 cawan beras
5 cawan @ secukupnya air
2 helai daun limau purut
1-2 titik pewarna kuning
1 batang serai ~ diketuk
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

~ Cuci beras sehingga bersih. Masukkan semua bahan dan juga air dan masak seperti memasak nasi biasa.

Serunding Kelapa Ikan
Bahan-bahan:

1 ekor ikan kembung
1 cawan kelapa parut (saya guna kelapa kering)
3 ulas bawang putih ~ dihiris halus
1 biji bawang besar ~ dihiris halus
1 batang serai ~ dihiris halus
1 cm halia ~ dihiris halus
Sedikit serbuk lada hitam
Garam dan gula

Cara penyediaan:

1. Bersihkan ikan dan dibakar sehingga masak (kalau nak rebus ikan pun boleh, rebus dgn 1-2 keping asam keping, toskan) Kemudian asingkan tulang dan ditumbuk ssehingga halus.
2. Bahan2 yg dihiris halus digoreng tanpa minyak sehingga layu dan kering. Kemudian angkat dan ditumbuk halus.
3. Goreng pula kelapa sehingga perang (saya guna kelapa kering, ianya sudah halus. Tidak perlu lagi ditumbuk).
4. Campurkan semua bahan dan gaul sebati. Perasakan dgn garam dan gula secukupnya.

Kuah/Sambal Lemak:
Bahan-bahan:

1 sudu besar cili kisar (nak pedas blh tambah lagi)
2 ulas bawang putih**
1 biji bawang besar**
1 cm halia**
**Semua bahan dikisar/ditumbuk
2 batang serai ~ diketuk
1 keping asam keping/gelugur
1 sudu kecil belacan (kalau ada budu letaklah 2 sudu)
250ml santan
Garam dan gula
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar/tumbuk sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili kisar, belacan dan masak sehingga cili betul2 masak.
2. Masukkan santan dan serai, kacau dan tunggu sehingga pecah minyak.
3. Masukkan asam keping, garam dan gula secukup rasa, masak lagi hingga sepekat mana kuah yg dikehendaki.

Bahan Ulam:

~ Kacang panjang, kobis, timun, bunga kantan, daun kesum, taugeh atau ulam2an lain yg sesuai.
~ Makan bersama lauk seperti telur masin, ikan/ ayam celup tepung, kerepuk ikan dan lain-lain lagi.

Serunding kelapa ikan ..

Kuah lemak..

Ulam-ulaman..

Nasi kerabu pertama kali buat, lauk ikan goreng tepung..

Kabsa Ayam Lagi..

Sebulan sekali memang saya akan membuat nasi kabsa. Senang sgt nak membuatnya. Baru ni saya cuba pula memasaknya dengan menggunakan periuk tekanan (pressure cooker). Kali ni, saya memasaknya dgn menggunakan bahan yg ada dlm peti sahaja.

Mula2 tumis bahan2 rempah dan tomato(saya guna 3 biji tomato yg disagat). Setelah bahan2 rempah terbit minyak, masukkan ayam(saya potong kecil) , 2 btg lobak yg dipotong besar2, 3 biji cili api, garam, sedikit gula dan air panas secukupnya. Tutup periuk dan masak selama 8-10 minit. Kemudian masukkan beras, capsicum hijau, kismis dan gaulkan bersama ayam. Letaklah air secukupnya(kalau kuah ayam tadi tidak mencukupi). Setelah nasi kering, tutup kembali periuk dan biarkan masak selama 20 minit. Gunakan api perlahan untuk mengelakkan nasi berkerak. Tutup api dan biar nasi masak penuh hanya dgn kepanasan dan tekanan yg ada didalam periuk.

Resepi nasi kabsa ada di sini..

Nasi Kabsa Kambing/Ayam

Saya belajar membuat nasi kabsa ini dari blog kawan dan juga resepi2 yang saya cari dari internet. Disini kalau nak makan senang je banyak jual di kedai2. Tapi kena belajar juga membuatnya supaya bila dah balik m'sia nanti, sesekali teringin nak mkn senang...

Bahan-bahan:

1 ekor ayam (dibelah 2) @ 1 kg daging kambing + tulang
3 pot/cwn beras basmati ~ cuci dan rendam 30 mionit, toskan
4 1/2 pot/cwn @ secukupnya air panas
2 sudu minyak masak
1 sudu minyak sapi
1 batang kayu manis
3 biji buah pelaga
2 biji bunga cengkih
1 biji bawang besar - dipotong dadu
3 ulas bawang putih - dipotong dadu
1 batang karot ~ diparut
1 biji buah tomato - dikisar
2 sudu tomato puri
1/2 sudu kecil pewarna kuning (saffron)
1 sudu besar rempah kabsa
1 biji lemon hitam/kering - dicucuk bahagian tengahnya.
1 biji lada bengala merah (red capsicum) ~ dipotong dadu
1 sudu kecil lada hitam biji/serbuk
2 biji cili merah ~ jgn potong
1/4 cawan kismis
Garam secukup rasa dan gula (kalau suka)
***Klik pada rempah kabsa untuk resepi

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan minyak sapi. Tumiskan kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga, bawang putih dan besar dan goreng sehingga wangi.
2. Masukkan buah tomato, tomato puree, lemon, saffron dan rempah kabsa dan goreng sebentar.
3. Kemudian masukkan ayam dan masak sehingga ayam masak. Tambahkan garam secukup rasa dan juga gula.
4. Masukkan karot, capsicum, cili merah, kismis dan beras. Masukkan air panas secukupnya dan masaklah nasi sehingga masak.
5. Kacau/gembur nasi bila nasi betul2 masak, selepas 30 minit supaya nasi tidak hancur.

Sos:

~ Kisarkan tomato, cili besar hijau, batang ketumbar, gula, garam dan perahan lemon kuning.

Nasi ini dimakan bersama ulam-ulaman dan ulam yang terkenal di sini ialah "daun jarjeer".

Nasi Ayam Ipoh???Abu Dhabi lah....

Resepi nasi ayam ipoh ni asalnya dari myresepi. Bahan2 yg digunakan adalah sama seperti nasi ayam biasa cuma ada sedikit penambahan seperti sos tiram dan minyak bijian di dalam nasi dan ubi sengkuang didlm sup. Resepi ini telah saya ubah sedikit mengikut cara saya pula. Sedap nasi ayam ni, cubalah..

Bahan-bahan:

Bahan untuk rebus ayam:

1 ekor ayam
4 ulas bawang putih ~ diketuk
2 inci halia ~ dihiris
3 batang bawang (ambil bahagian yg putih dan bwgnya) ~ dihiris
Air ~ secukupnya
Garam secukup rasa.

Cara penyediaan:

~ Sediakan periuk, masukkan air, bawang putih ,halia dan garam, didihkan. Setelah air mendidih, masukkan ayam dan masak dalam anggaran 20-30 minit. Angkat dan toskan.

Ayam:

1 ekor ayam ~ yg telah direbus dan ditoskan
3 biji bawang putih ~ tumbuk
1 inci halia ~ tumbuk
3 sudu besar kicap lemak manis
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar cuka
1 sudu besar madu ( optional )

Cara penyediaan:

1. Satukan semua bahan2 didalam mangkuk.
2. Masukkan ayam yg telah ditoskan tadi dan gaulkan dgn bahan2 sehingga rata.
3. Perapkan ayam selama 30 minit dan bolehlah dipanggang atau digoreng.

Untuk nasi:

3 cawan beras
4 cawan @ secukupnya air rebusan ayam (air bergantung kpd jenis beras yg digunakan)
3 ulas bawang putih ~ ditumbuk
1 inci halia ~ ditumbuk/kisar
2 sudu besar sos tiram/kisar
1 sudu besar minyak bijan
3 batang daun bawang bhg putih dan bawangnya ~ dihiris
2 helai daun pandan
2 sudu butter/mentega
Garam secukup rasa.

Cara penyediaan:

1. Beras dibersih kemudian ditoskan.
2. Panaskan majerin dan minyak, masukkan bahan-bahan tumbuk kemudian goreng hingga wangi.
3. Masukkan minyak bijan, sos tiram dan beras, kacau rata beras dgn bahan2 sebentar. Kemudian masukkan air rebusan ayam, daun bawang, daun pandan dan garam.
4. Masak/tanak hingga masak

Untuk sup:

Air rebusan ayam
1 sudu besar serbuk lada sulah
1 biji sengkuang ~ potong dadu (saya tidak letak sbb ubi sengkuang tak ada di sini)
Daun sup ~ dihiris

Cara penyediaan:

~ Didihkan air rebusan ayam tadi. Masukkan sengkuang dan serbuk lada sulah. Perasakan dgn garam secukupnya. Hidangkan bersama hirisan daun sup.

Untuk sos cili:

10 biji cili api
6 biji cili merah ( saya tak letak sbb tak ada )
1/2 inci halia
4 ulas bawang putih
2 sudu besar jus limau nipis/kasturi
Sedikit air rebusan ayam
Garam dan gula secukupnya.

Cara penyediaan:

1. Kisar semua bahan sehingga hancur. Sedia dihidang.

Untuk sos kicap:

5 biji cili api
Sedikit halia (ambil dari rebusan)
4/5 biji bawang putih
Kicap secukupnya
1 sudu besar sos tiram
Air rebusan ayam secukupnya
Tepung jagung ~ campur dgn sedikit air utk memekatkan sos kicap.

Cara penyediaan:

1. Kisar semua bahan dan masak di atas dapur.
2. Setelah mendidih, masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau seketika dan bolehlah diangkat.

Bahan sampingan:

1 batang timun ~ dihiris
2 biji buah tomato ~ dihiris
Salad ~ dihiris
Bawang goreng ~ ditabur di atas nasi dan di dalam sup
Minyak bijan ~ taburkan ke atas ayam yg telah dipotong.

Nasi Tomato Sotong Goreng

Sekali pandang mcm nasi goreng, tapi ni sebenarnya nasi tomato yg dimakan bersama sotong grg tepung..

Bahan-bahan:

4 cawan (pot) beras basmathi ~ bersih dan toskan
4 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar marjerin
3 biji tomato ~ dipotong kecil2(cincang)
2 sudu tomato puree
1 cawan susu cair
3 cawan@secukupnya air
3 ulas bawang putih ~ dihiris
5 biji bawang merah @ 1 biji bawang besar ~ dihiris
1 inci halia ~ dihiris
Rempah tumis 4 sekwn ~ 3 biji buah pelaga, 4 kuntum bunga cengkih, 1 kuntum bunga lawang & 2 inci kulit kayu manis
Garam secukup rasa & sedikit gula(optional)

Cara penyediaan:

1. Masukkan beras ke dalam rice cooker.
2. Sementara itu di dlm periuk lain, panaskan minyak sapi dan mentega. Bila semuanya cair, tumis rempah tumis, bawang putih, bawang merah dan halia. Tumis hingga wangi dan sedikit garing.
3. Masukkan tomato yg telah potong kecil (cincang) dan tomato puree, kacau dan biar masak.
4. Masukkan susu dan air, masak hingga mendidih. Kemudian masukkan ke dalam rice cooker yg telah diisikan beras tadi.
5. Masukkan garam secukup rasa dan sedikit gula, gaul beras hingga rata dengan semua rempah2. Masak nasi seperti biasa.
6. Gaul/gemburkan nasi bila nasi sudah betul2 masak.
Hias dengan hirisan daun sup/daun bawang, bawang goreng, hirisan karot yg digoreng garing sebelum dihidangkan.

Sotong Goreng Tepung

Bahan-bahan:

300 gm sotong yg telah siap dipotong bulat @ sotong biasa (kalau sotong seekor2 tu cuci bersih& potong bulat)
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras @ jagung
1 sudu kecil serbuk kari
1/2 sudu kecil lada sulah
1 sudu kecik baking powder
Garam secukup rasa
Sedikit air
Minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaan:

1. Rebus sotong separuh masak dan toskan airnya. Kemudian gaulkan dgn lada sulah.
2. Adunan batter: Satukan tepung gandum, tepung beras, serbuk kari, baking powder dan garam, gaul rata dan masukkan air, pastikan jgn terlalu cair. Buat batter/bancuhan mcm batter nak buat goreng pisang.
3. Celupkan sotong tadi dan goreng hingga perang. Jangan terlalu lama kerana sotong tadi sudah separuh masak.
** Sotong direbus untuk mengelakkan sotong meletup bila digoreng.

My Chicken Biryani Rice

Saya selalu melayari internet untuk mencari resepi biryani. Ada berbagai2 jenis resepi biryani dari india, pakistan dan berlainan cara membuatnya. Kemudian saya mencubanya pula mengikut cara saya pula. Inilah hasilnya..

Bahan-bahan:

4 cawan beras basmathi ~ cuci dan rendam 30 minit dan toskan
1 ekor ayam ~ potong kecil
1 cawan yogurt
3 biji bawang besar ~ dihiris
2 biji tomato ~ potong dadu
3 biji cili api (nk pedas tambah lagi) ~ cucuk dgn pisau pada bahagian tengah cili tersebut
1 sudu kecil bawang putih yg dikisar halus
1 sudu kecil halia yg dikisar halus
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil serbuk garam masala
2 sudu besar rempah biryani
4 kuntum bunga cengkih
1 batang kayu manis (dlm 2 inci)
4 biji buah pelaga hijau & 2 biji buah pelaga hitam
2 helai daun salam( bay leaves)
1- 2 cawan bawang goreng
1/2 cawan kismis
Secubit saffron ~ rendam dgn 1/2 cawan air panas atau susu panas
1 cawan daun ketumbar yg dihiris (dlm resepi ni tak letak sbb stok dah abis)
4 sudu minyak sapi
Garam dan gula secukup rasa (gula tu optional)

Cara penyediaan:

Ayam:

1. Panaskan periuk dan tumis bunga cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis, daun salam dan bawang besar. Goreng sehingga kuning dan masukkan paste bawang putih dan halia.
2. Masukkan rempah biryani, garam masalah, serbuk kunyit dan tomato. Masak sehingga terbit minyak, kemudian masukkan ayam, daun ketumbar dan yogurt.
3. Masakkan sehingga ayam masak dan kuah agak pekat. Perasakan dengan garam secukup rasa dan jika suka tambahkan sedikit gula. Matikan api dan ketepikan.

Nasi:

~ Didihkan air dan masukkan 1 helai daun salam, 1/2 sudu jintan manis dan 1 sudu minyak. Apabila air mendidih, masukkan beras dan masak selama 6-8 minit (sehingga menjadi nasi separuh masak). Nasi menjadi butiran yang lembut dan tidak keras.

Nasi Biryani:

1. Masukkan 1/3 bahagian nasi ke dalam periuk nasi elektrik dan ratakan. Taburkan bawang goreng, daun ketumbar, kismis, dan sedikit bancuhan saffron tadi ke beberapa bahagian nasi.
2. Masukkan 1/2 bahagian ayam dan ratakan menutupi bahagian nasi.
3. Masukkan pula 1/3 bahagian lagi nasi menutupi ayam dan lakukan keadah yg sama seperti no. 1 dan sudahkan dgn 1/2 bahagian ayam lagi yg tinggal.
4. Akhir sekali masukkan lebihan nasi yg tinggal dan letakkan lebihan kuah ayam tadi ke atas nasi dan taburkan lebihan bawang goreng, daun ketumbar, kismis, bancuhan saffron.
5. Tutup periuk dan tekan on periuk elektrik tersebut dan masak nasi sehingga masak (sekurang2nya 30 minit).
6. Gemburkan/kacau nasi sebelum dihidangkan. Untuk hiasan taburkan dgn kismis, bawang goreng dan gajus.

Cara penyediaan briyani..

Nasi briyani yang baru siap dimasak.

Nasi Mandhi Abu Dhabi


Saya belajar membuat nasi mandi ni dari blog rakan yg tinggal di Riyadh, Arab Saudi. Saya telah pun mencubanya. Saya ada menambah beberapa bahan lain dari resepi rakan saya ni, begitu juga dgn sukatan utk bhn yg digunakn adalah mengikut sukatan saya sendiri.

Bahan-bahan ayam:

1 ekor ayam ~ dibelah 2 dan di cuci bersih
1/2 sudu kecil serbuk ketumbar
1/2 sudu kecil serbuk jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk kabsa ( kalau tak ada,gantikn dgn rempah campuran )
2 biji bawang besar ~ dihiris bulat
2 biji lemon ~ dihiris bulat
Garam
Sedikit pewarna kuning/ saffron
Aluminium foil.

Cara penyediaan ayam:

1. Gaul rata ayam dengan semua bahan rempah, garam dan pewarna kuning. Perapkan dalam 15 minit.
2. Alaskan/balutkn bekas/dulang pembakar dgn aluminium foil. Kemudian susun hirisan bawang besar dan lemon atas foil tadi.
3. Letak ayam di atas bawang dan lemon tersebut. Tutup ayam tersebut dengan foil aluminium dan bakar pada suhu 250'c selama 1jam. Pada 10minit terakhir buka sedikit foil bahagian atas.
**Semasa ayam dibakar, ayam akan mengeluarkan air. Selepas 45 @ 50 minit, buka foil dan keluarkan air didalam ayam tersebut dan barulah bakar semula selama 10 minit atau sehingga ayam sedikit garing.
**Kuah dari ayam tadi, saya campurkan dgn saffron/pewarna kuning sebelum dimasukk
an ke dalam nasi.

Nasi:

4 cawan/pot beras basmathi ~ rendam 20 minit dan toskan
3 camca besar minyak sapi
4 1/2 cawan air atau secukupnya
1 biji bawang besar ~ hiris halus
3 ulas bawang putih ~ hiris halus
1 inci halia ~ hiris halus btg mancis
1/3 cwn kismis
Rempah tumis ~ 1 batang kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga, 5 kuntum bunga cengkih
Sedikit pewarna kuning
Garam secukup rasa.

Cara penyediaan nasi:

1. Panaskan minyak tumis rempah tumis, bawang putih, bawang besar dan halia hingga harum dan bawang layu. Masukkan kismis, goreng sebentar dan masukkan pula air, biar mendidih.
2. Bila mendidih, padamkan api dan tuang ke dalam rice cooker. Masukkan beras dan garam secukup rasa, kacau rata dan masak seperti biasa.
3. Bila nasi kering, buat lubang ditgh nasi dan letakkan foil. Masukkan 1 sudu minyak dan seketul arang yang telah dibakar. Tutup tudung periuk selama 2minit supaya aroma asap arang tadi meresap ke dalam nasi.
4. Buka semula tudung periuk dan keluarkan foil bersama arang tadi.
5. Titiskan 2-3 titik pewarna kuning, kacau/gembur nasi dan masak nasi sehingga masak.

Sos:

1 biji tomato ~ hiris
5 biji cili besar hijau (nk pedas tmbh lagi) ~ hiris
1 tangkai batang ketumbar ~ dihiris halus
Garam
Gula
Perahan lemon.

Cara penyediaan:

~ Kisar semua bahan dengan perahan air lemon, sekejap sahaja. Jangan sampai terlalu hancur.

Ulam:

~ Boleh dimakan bersama hirisan timun, tomato serta ulam2 kampung.



Proses meng"asap" nasi dgn arang + sedikit minyak..



Ayam yg telah siap dipanggang..


Nasi mandi sedia dihidang bersama daun Jarjeer, ulam kegemaran orang2 Arab..

Nasi Goreng USA

Salam semua.. setelah sebulan lebih saya cuti2 malaysia, kini kembali semula ke dapur masak ku di UAE ni..menu pertamanya ialah nasi goreng usa, resepinya telah diubahsuai sedikit..

Bahan nasi:
2 mangkuk nasi
2 ulas bawang putih ~ diketuk
1 biji bawang besar ~ dihiris
1 sudu cili kisar
1 sudu sos tiram
1/2 batang lobak merah ~ dipotong dadu (blh guna mix veg)
Garam secukup rasa
Sedikit minyak.

Cara penyediaan nasi:
1. Tumis bawang putih sehingga naik bau, masukkan bawang besar dan cili kisar dan goreng sehingga garing.
2. Masukkan sos tiram dan lobak merah(mix veg), gaul rata.
3. Masukkan nasi dan gaul sehingga rata. Rasakan masin dan bolehlah diangkat.

Daging masak merah:
300gm daging ~ dihiris
2 ulas bawang putih ~ diketuk
1 biji bawang besar ~ dihiris
1/2 biji capsicum ~ dihiris
1 biji tomato ~ dipotong 6
1 sudu cili kisar
2 sudu cili sos
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak.

Cara penyediaan daging:
1. Tumis bawang putih hingga naik bau,masukkan cili kisar dan biarkan seketika sehingga cili masak.
2. Masukkan daging dan biarkan sehingga air daging kering.
3. Masukkan cili sos, capsicum dan bawang besar, gaul rata.
4. Akhir sekali masukkan tomato dan perasakan masim, manis dan masamnya.
5. Hidangkan bersama nasi, telur mata kerbau, tomato dan timun.

Nasi Lemak Kukus

Resepi nasi lemak kukus ni saya cari dari internet juga..setelah mencubanya, alhamdulillah menjadi dan sedap..

Bahan-bahan:
5 cawan beras ( atau secukupnya )
Santan pekat ~ secukupnya
3 helai daun pandan
1 inci halia ~ dihiris
Garam secukup rasa
Sedikit gula ( secubit )

Cara penyediaan:
1. Basuh dan rendam beras selama lebih kurang 2-3 jam.
2. Didihkan air dalam pengukus. Kukus beras selama 20 minit atau beras separuh masak(kelihatan kering).
3. Keluarkan beras dari pengukus dan rendam dengan air sehingga air rendaman itu sejuk.
4. Setelah itu kukus semula beras tadi lebih kurang 10 minit.
5. Keluarkan beras tadi dan gaul bersama santan yang telah dicampur garam dan gula serta hirisan halia.
6. Biar seketika atau 10 minit supaya santan menyerap masuk ke dalam beras.
7. Akhir sekali, kukus sekali lagi nasi bersama daun pandan hingga nasi masak, kelihatan berderai dan cantik.

** Semasa mengukus, lubangkan dengan jari beras tersebut supaya masak sekata.

Sambal Tumis Ikan Bilis

Bahan-bahan:
1 mangkuk ikan bilis
15-20 tangkai cili kering ~ dikisar ( jika nak pedas tambah lagi )
6 ulas bawang merah ~ dikisar
3 ulas bawang putih ~ dikisar
1-2 labu bawang besar ~ dihiris
Sedikit air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Minyak masak untuk menumis

Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis sehingga garing, kemudian angkat dan toskan minyaknya.
2. Lebihan minyak tadi, gunakan utk menumis sambal.
3. Masukkan bawang kisar, tumis hingga naik bau dan agak garing kemudian masukkan cili kisar.
4. Goreng cili dgn api yg perlahan sehingga pecah minyak dan cili betul2 masak/garing.
5. Kemudian masukkan sedikit air, air asam jawa, garam dan gula.
6. Biarkan mendidih. Kemudian masukkan ikan bilis.
7. Biarkan sedikit kering, kemudian masukkan bawang besar.
8. Kacau sehingga bawang layu dan kuah jadi pekat bolehlah diangkat.

**Kalau suka blhlh letakkan sedikit belacan.

Bahan sampingan lain:
Ikan bilis goreng, kacang tanah(digoreng), telur rebus dan hirisan timun.

Nasi Goreng Kampung Arab

Hehehe..ni sebenarnya nasi goreng kampung biasa je...ddk kt negara arab, jadi letaklah nama nasi goreng kampung arab..kat Abu Dhabi tak de byk sayur kg mcm kt malaysia. Kangkung pn sekali sekala je jumpa..jadi saya letaklah daun bawang je..

Bahan-bahan:
1 pinggan nasi
1 biji bawang besar ~ dihiris
2 ulas bawang putih ~ diketuk
2-3 biji cili api ~ diketuk
1 batang daun bawang ~ dihiris
Ikan bilis ~ secukupnya
1 biji telur
2 sudu sos tiram
2 sudu minyak masak
Stok ikan bilis ~ jika suka
Garam

Cara penyediaan:
1. Goreng ikan bilis sehingga garing dan diangkat.
2. Tumis bawang merah, bawang putih dan cili padi.
3. Masukkan sos tiram, nasi, stok ikan bilis dan garam. Kemudian gaul rata.
4. Ketepikan sedikit nasi, pecahkan telur. Bila telur separuh masak gaulkan bersama nasi.
5. Akhir sekali masukkan daun bawang dan ikan bilis. Gaul rata dan tutupkan api.

Nasi Ayam Kukus

Nasi ayam ni merupakan makanan kegemaran kami sekeluarga..kekadang tu sajalah mengubah cara utk memasak ayam tu..kali ni ayamnya dipotong kecil2 dan terus dikukus...

Bahan-bahan:
1 ekor ayam ~ dipotong kecil
3 ulas bawang putih ~ ditumbuk
1 batang serai ~ ditumbuk
1 inci halia ~ ditumbuk
Sedikit lada sulah
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu kecil minyak bijan
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk pati ayam ~ kalau suka

Cara penyediaan:
1. Campurkan semua bahan dan perap ayam semalaman atau 3-4 jam.
2. Kukus ayam yang sudah diperap ini dalam kukusan dan kukuslah sehingga ayam masak.

*Semasa mengukus, ayam akan mengeluarkan air dan minyaknya sendiri seterusnya menghasilkan sedikit kuah. Kuah ini dijadikan sos kicap utk nasi ayam.

Untuk nasi:
2 cawan beras
3 cawan air ~ jika beras lembut kena kurangkan airnya bergantung kpd jenis beras tersbt
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 cm halia - ditumbuk
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecik serbuk pati ayam
1 sudu besar majerin
1 sudu besar minyak masak

Cara penyediaan:
1. Beras dibersihkan kemudian ditoskan.
2. Panaskan majerin dan minyak, masukkan bahan-bahan tumbuk kemudian goreng hingga wangi
3. Masukkan beras, goreng beras sebentar baru masukkan air, garam dan serbuk pati ayam.
4. Tanak hingga masak.

* Nasi ini tidak menggunakan air rebusan ayam. Jadi saya meletakkan serbuk pati ayam utk menambah perasa ayam di dalam nasi.

Sos cili:
10 biji cili merah
2 ulas bawang putih
2 sudu besar cuka atau jus limau nipis
1 sudu kecil serbuk pati ayam
1 cawan air
Gula dan garam secukupnya

Cara penyediaan:
Kisar cili bersama bahan-bahan diatas sehingga halus dan didihkan sebentar.

Bahan sampingan ~ dihiris
1 biji salad
1 batang timun
2 biji tomato

Nasi Ayam Hainan

Hari ni msk nasi ayam lagi. Dah selalu sangat buat nasi ayam yg ayamnya digoreng je. Kali ni tukarlah selera pulak..cuba buat resepi nasi ayam hainan..

Bahan-bahan:

Bahan untuk rebus ayam:
1 ekor ayam
Air ~ mesti cukup untuk tenggelamkan ayam
Garam
Serbuk pati ayam ~ kalau suka
2 inci halia ~ diketuk

Cara penyediaan:
Sediakan periuk, letak air, garam, dan halia yang diketuk. Didihkan.Masukkan ayam . Masak anggaran 30- 40 minit. Angkat dan toskan.

*
~ Cucuk peha ayam untuk tahu jika sudah masak. Ayam tidak boleh direbus terlalu lama takut dagingnya tidak sedap jadi, pandai2 untuk agak. Jika tidak berdarah,bolehlah angkat ayam dan toskan airnya. Biarkan ayam betul-betul sejuk baru dipotong kalau tidak takut dagingnya hancur.
~ Resepi asal, ayam yg telah direbus perlu direndam di dalam air ais selama lebih kurang 10-15 minit. tetapi saya tidak merendam ayam tersebut.

Untuk nasi:
3 cawan beras
5 cawan air rebusan ayam - jika beras lembut kurangkan airnya bergantung kpd jenis beras yg digunakan
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 inci halia - ditumbuk
Garam
1 sudu besar majerin
1 sudu besar minyak masak

Cara penyediaan:
1. Beras dibersihkan kemudian ditoskan.
2. Panaskan majerin dan minyak, masukkan bahan-bahan tumbuk kemudian goreng hingga wangi.
3. Masukkan beras, goreng beras sebentar baru masukkan air rebusan ayam dan garam.
4. Tanak hingga masak.

*Resepi yg sebenarnya menggunakan lemak/kulit ayam tapi saya tidak menggunakannya.

Untuk sup:
Air rebusan ayam
Daun sup ~ dihiris

Cara penyediaan:
~ Air rebusan ayam tadi dididihkan. Letaklah garam secukup rasa. Hidangkan bersama hirisan daun sup.

Untuk sos cili:
10 biji cili merah
1 inci halia
2 ulas bawang putih
1 sudu besar gula
Garam
2 sudu besar jus limau nipis
1/2 botol sos thai

Cara penyediaan:
1. Kisar cili merah, halia. bawang putih dan jus limau.
2. Masakkan dalam periuk. Masukkan gula, garam dan sos thai.

Untuk sos kicap:
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
3 sudu besar kicap manis
5 sudu besar air rebusan ayam
1 sudu besar gula

Cara penyediaan:
Campurkan semua bahan dan masak di atas dapur sehingga mendidih.

Bahan sampingan:
1 batang timun ~ dihiris
2 biji buah tomato ~ dihiris
Salad ~ dihiris
Bawang goreng ~ ditabur di atas nasi dan di dalam sup
Minyak bijan ~ taburkan ke atas ayam yg telah dipotong.

Pulut Kuning Tanah Arab

Bahan-bahan:
1 kg beras pulut
3 keping asam gelugur/keping
2 sudu besar serbuk kunyit
Air secukupnya untuk merendam pulut
1 biji kelapa ~ perahkan 3 cawan santan pekat
Garam
Gula

Cara penyediaan:
1. Cuci pulut kemudian rendam 4 jam atau semalaman di dalam air dengan asam gelugur dan serbuk kunyit.
2. Toskan beras pulut dalam tapisan.
3. Panaskan kukusan.
4. Masukkan pulut dalam kukusan yg telah dilapikkan dengan daun pisang.
5. Kukuskan sehingga pulut separuh masak.
6. Angkat keluar pulut dan masukkan dalam mangkuk.
7. Tuangkan santan yg telah digaulkan dgn garam dan gula.
8. Gaul dan kacau rata santan dan pulut. Masukkan semula dalam periuk kukusan.
9. Kukuskan semula sehingga masak
10.Hidangkan pulut dengan rendang atau gulai ayam atau daging.

Nasi Goreng Salmon

Bahan-bahan:
1 pinggan nasi
1 keping ikan salmon yang telah dipanggang (kalau tak ada salmon blh diganti dgn ikan lain seperti ikan tenggiri atau tuna flakes)
3 ulas bawang merah ~ ditumbuk kasar
2 biji bawang putih ~ diketuk
3-4 biji cili padi ~ diketuk
2 sudu sos tiram
1 batang lobak merah ~ dipotong dadu
1 biji telur ~ goreng mata kerbau
Garam secukup rasa
Sedikit sebuk pati ayam ~ kalau suka
Minyak untuk menumis
Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih dan bawang merah hingga naik bau.
2. Masukkan cili api dan sos tiram.
3. Masukkan lobak merah dan bila dah agak layu, masukkan salmon.
4. Masukkan nasi, garam dan serbuk pati ayam secukup rasa. Kacau rata dan bolehlah dihidangkan bersama telur mata kerbau dan sedikit salad.
* sos utk nasi goreng ~ tomato, cili api, sedikit garam dan gula dikisar.

Briyani Kambing - Resepi Sendiri

Bahan-Bahan:
1kg daging+ tulang kambing [mutton cut into large pieces (with bone is better) ]
Beras (Basmati rice)
5 ulas bawang putih(garlic) ~ dikisar
2 labu bawang besar(onions) ~ dikisar1 inci halia(1 finger sized ginger) ~ dikisar
1 batang kulit kayu manis(cinnamon sticks)
3 buah pelaga(cardamom pods)
3 kuntum bunga cengkih(cloves)
2 bunga lawang(star anise)
Arabic mix masala ~ kalau tak ada gantikan dgn rempah briyani
2 helai daun salam(bay leaves)
1-2biji limau kering (dried lemons )Sedikit daun ketumbar(coriander leaves) ~ dicincang
1 cawan yogurt( plain)
Garam secukup rasa (salt to taste )
1-2 sudu minyak sapi (ghee) ~ untuk menumis

Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak sapi di dalam kuali.
2. Tumis bunga lawang,bunga cengkih, buah pelaga,kulit kayu manis.
3. Kemudian masukkan daun salam dan bahan yg telah dikisar tadi. Tumis sehingga naik bau wangi.
4. Masukkan daging kambing.
5. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
Sementara menunggu daging kambing masak...

Nasi:
1. Tanak nasi dengan air sehingga kering airnya.
2. Bila sudah kering airnya, keluarkan separuh dari nasi tersebut dan masukkan beryani kambing dengan kuahnya sekali secara berselang-seli dengan nasi sehingga habis.
3. Masak nasi tersebut semula lebih kurang 10-15minit.

Salad :
carrot, lettuce, timun,tomato dan bawang.

Raita(Sos yogurt):
1 cawan(cup) plain yogurt
2-3 ulas bawang putih (garlic) ~ dipotong dadu dan digoreng sehingga garing.
1 labu bawang besar (onion - chopped finely.
Sedikit daun ketumbar dicincing (fresh coriander leaves-chopped)
Garam secukup rasa(salt to taste)
Cara penyediaan:
Pukul yogurt sehingga agak cair kemudian masukkan semua bahan2 dan gaul rata. Masukkan garam secukup rasa.












Sedia untuk dihidang.

Nasi Ayam Kukus


Kat dlm fridge ada drumstick je,tengah fikir nak masak ape..so i get an idea to make nasi ayam kukus coz it easy to cook..bahan2 for salad pun just ni je yg adanye..
Bahan Untuk Ayam:
Drumstick(peha ayam) ~ dlm 8 ketul
2-3 ulas bawang putih ~ ditumbuk
Sedikit halia ~ ditumbuk
Sedikit stok ayam ~ kalau tak nak tak payah letak
Garam.
Cara penyediaan:
Gaulkan ayam dengan kesemua bahan dan letakkan didalam loyang dan kukuslah sehingga masak.
Nasi:
Beras
1 biji bawang besar ~ dihiris
2 ulas bawang putih ~ dihiris
Sedikit halia ~ dihiris
Sedikit stok ayam
Garam
Air
Sedikit minyak untuk menumis.
Cara penyediaan:
Panaskan minyak dan tumis bahan2 yg dihiris sehingga garing. Kemudian masukkan beras dan kacau sekejap.Masukkan air,garam serta stok ayam dan biarkan nasi sehingga masak.
Sos:
1 sudu cili kering
2-3 ulas bawang putih ~ ditumbuk
Cili sos
Sedikit air
Sedikit tepung untuk memekatkan sos
Garam dan gula.
Cara penyediaan:
Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk dan masak sehingga agak pekat.
Sup:
Ayam yang telah dikukus tadi mengeluarkan air so ambik air ayam tersebut dan dicampurkan dengan sedikit air. Dididihkan sebentar dan tambahlah sedikit garam. Sedia untuk dihidang.
Related Posts with Thumbnails

Resepi Raidah © 2013. Blog Dikendalikan Oleh SyurgaDiDunia.