Kari Ikan Sardin (Mackarel)

Adakala kuah roti canai yang dibeli dikedai agak kurang enak, jadi untuk santapan keluarga apabila membeli roti canai dikedai untuk dimakan dirumah, saya sediakan kari ikan sardin yang mudah untuk disediakan ini.

Bahan-bahannya:

1 tin besar sardin Mackarel
1 pek kecil serbuk kari
**3 ulas bawang putih
**1 biji bawang besar
**1/2 inci halia
**semua bahan ditumbuk/mesin kasar
2 ulas bawang putih ~ dimayam halus
1 biji bawang besar ~ dihiris
1 tangkai daun kari
2 keping asam keping
1 biji tomato ~ belah 4
1 cawan santan
Air
Garam dan gula
Minyak

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak. Goreng bawang putih dan bawang besar yang telah dihiris sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
2. Dalam anggaran 3 sudu besar minyak, tumiskn bahan-bahan yg telah ditumbuk sehingga wangi.
3. Masukkan rempah kari, daun kari dan sedikit air. Masak sehingga terbit minyak. Kalau kering tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga betul-betul masak dan terbit minyaknya.
4. Masukkan santan, asam keping dan ikan sardin, masak sehingga mendidih.
5. Perasakan masin, masam dan manisnya.
6. Masukkan tomato dan bawang yg telah digoreng tadi. Didihkan sebentar dan bolehlah diangkat.

Walaupun mudah akan tetapi memakan masa juga kerana masa untuk rempah kari itu naik minyaknya dalam proses menumis, Kalau mahu segera tak perlulah tunggu kari yang ditumis tadi naik minyaknya tetapi kurang umphlah rasanya nanti.


Kerapu Masam Manis

  • 1 ekor ikan kerapu ~ 
  • 2 biji tomato ~ dipotong dadu
  • 1 batang karot ~ dipotong dadu
  • 1 biji timun ~ dipotong dadu
  • 1 labu bawang besar ~ dipotong bulat
  • 5 ulas bawang putih ~ ditumbuk kasar
  • 1 labu bawang besar ~ dipotong dadu
  • 1/2 inci halia ~ dihiris nipis
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1/2 cawan sos cili
  • 1 susu kecil tepung jagung ~ bancuh dgn sedikit air
  • Serbuk kunyit dan 2 sudu tepung jagung
  • Garam dan gula
  • Air
  • Minyak
Cara penyediaan:

Ikan yang saya gunakan agak besar, jadi untuk memudahkan memasak saya potong dua, maklumla kan kuali tak besar macam yang dikedai makan.

1. Bersihkan ikan, kemudian lumurkan ianya dengan serbuk kunyit, garam dan tepung jagung.
2. Panaskan minyak secukupnya untuk goreng deep fry dan goreng ikan sehingga garing. Gunakan api sederhana supaya ikan tidak hangit/hangus. Angkat dan ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak(ambil minyak gorengan tadi) dan tumis bawang putih, bawang besar yang dipotong dadu dan halia sehingga naik bau.
4. Masukkan bahan sos dan tomato, karot, timun dan bawang hiris serta bahan sos. Kacau sebati, kalau ingin berkuah, masukkan sedikit air.
5. Perasakan dengan garam dan gula. Masuk kan bancuhan tepung jagung (untuk memekatkan kuah) dan kacau sebentar.
6. Angkat dan bolehlah dituangkan ke atas ikan yang telah digoreng tadi. Boleh hiaskan dengan potongan daun bawang dan sup.

Sedia untuk dihidangkan.

Buah Melaka (onde-onde) Berkuah

Assalamualaikum.

Bertemu lagi di resepiraidah..Kali ini dengan resepi kuih buah melaka (onde-onde) versi resepiraidah yang tidak bersalut kelapa parut. Makan dengan kuah santan pun sedap juga..Rupa bentuk buah Melaka kurang cantik 😁..si bujang dan puteri yang menolong..ibunya merebus dan membuat kuah 😃

Bahan-bahan:

2 cawan tepung pulut
1 cawan tepung gandum (saya tambah)
2 ketul atau secukupnya gula melaka ~ dipotong kecil2
1 1/3 cawan atau secukupnya air atau jus pandan
Sedikit pewarna hijau
Sedikit garam ~ dicampur dlm jus pandan
Untuk kuah:
3 cawan santan
2 sudu besar tepung beras
2 helai daun pandan
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

Untuk kuah:

~ Campurkan semua bahan2 kuah lalu dikacau atas api sederhana sehingga kuah masak dan agak pekat. Ketepikan.

Buah Melaka:

1. Bancuh tepung bersama jus pandan sehingga boleh diuli. Jangan sampai lembik nanti susah nak bentukkan doh jadi bulat.
2. Ambil doh sebesar guli, masukkan gula melaka yg telah dipotong kecil2 ditengah2 adunan. Bulatkan dan pastikan menutupi keseluruhan gula.
3. Masak air sehingga mendidih, kemudian masukkn buah melaka tadi.
4. Bila bebola timbul/terapung bolehlah diangkat dan toskan.
5. Terus masukkan ke dalam kuah yg telah disediakan tadi.

Mujaddara Arabic Lentil Rice

Assalamualaikum..Bersua kembali setelah sekian lama tidak mengemaskini blog resepiraidah ini..Mujaddara membuka tirai, makanan tradisional vegetarian di Timur Tengah. Menggunakan bahan yang sedikit dan senang untuk disediakan.

Bahan-bahan:

2 cawan kacang dal ~ direndam setengah jam
1 cawan beras(saya guna basmati) ~ direndam setengah jam
4 biji bawang besar ~ hiris nipis untuk dijadikan bawang goreng
5 cawan air
1 sudu besar minyak zaitun
1 sudu besar serbuk jintan putih
Garam
Minyak

Cara penyediaan:

1. Masukkan dal dan air ke dalam periuk, masak sehingga mendidih atas api sederhana
2. Kecilkan api. Tutup periuk dan biarkan reneh selama 20-25 minit atau sehingga dal lembut.
3. Masukkan beras, garam, serbuk jintan putih dan minyak zaitun ke dalam periuk dan kacau rata. Kalau air agak kering, tambahkan 1/2 air jika perlu. Tutup dan biarkan sehingga dal dan beras masak selama lebihkurang 30 minit.
4. Untuk membuat bawang goreng, panaskan minyak dan goreng bawang yang telah dihiris tadi sehingga garing. Angkat dan toskan. 
5. Apabila dal dan nasi telah dimasak, ambil separuh bawang yang telah digoreng tadi dan campurkan ke dalam periuk, gaul rata. 
6. Hidangkan ke dalam pinggan dan taburkan bawang goreng diatas nasi dal tersebut.
 

Ini kacang dal yang saya gunakan.
** Saya menggunakan cawan dan sudu sukatan matrik

Air Katirah Abu Dhabi

Minuman yang popular ketika di bulan Ramadhan. Puasa lepas tidak berkesempatan untuk membuatnya, jadi buatlah pada hari biasa kerana bahan-bahannya pun telah lama dibawa dari Malaysia. Saya menggunakan resepi dari my resipi.. dan membuat sedikit penambahan dengan merujuk resepi lain...

Bahan-bahan:
Air ~ secukupnya
Gula pasir ~ Secukup rasa
15 biji badam~ tanpa kulit
1 tin susu cair
Daun pandan
100 g katirah
Sedikit pewarna hijau

Bahan isian tambahan jika suka:

Segenggam kembang semangkuk ~ direndam berasingan
1 sudu besar biji selasih ~ direndam berasingan
Hirisan buah kurma
Cincau ~ dipotong
Kacang tanah goreng ~ dibuang kulit
Cendol
Ketulan ais secukupnya

Cara penyediaan:

1. Rendam dahulu katirah hingga kembang semalaman.Tapis dan bersihkan.
2. Masak air, gula dan daun pandan sehingga gula larut.
3. Kisar badam bersama sedikit air hingga halus dan tapiskan ke dalam air gula tadi dan masak lagi hingga mendidih, kacau sentiasa. Matikan api dan biar sejuk.
4. Setelah air sejuk, masukkan susu cair dan katirah dan gaul rata. Titikkan pewarna hijau dan pewarna lain jika suka dan tambahkan bahan2 isian lain secukupnya. Sejukkan didalam peti sejuk.
5. Enjoy~! (^_^)...

Katirah atau getah anggur sebelum dan sesudah direndam..

Sedia untuk dihidangkan..
Related Posts with Thumbnails

Resepi Raidah © 2013. Blog Dikendalikan Oleh SyurgaDiDunia.